KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memprioritaskan usaha memperkasakan sektor tenaga sebagai salah satu agenda pembangunan strategik Sabah.
“Kita tidak hanya perlu memastikan bekalan elektrik kekal mencukupi dan terjamin, malah perlu membangunkan sistem tenaga yang lebih cekap dan mampan yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Atas sebab ini, Kerajaan Negeri telah mengguna pakai Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) sebagai cetak biru strategik bagi pembangunan sektor tenaga Sabah.
“Pelan ini berfungsi sebagai panduan untuk memperkukuh keterjaminan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu, dan memastikan pembangunan tenaga terus menyokong aspirasi ekonomi Negeri.
“Usaha-usaha ini bertujuan untuk memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, terjamin dan berpatutan, selaras dengan aspirasi peralihan tenaga Negeri,” katanya pada majlis pelancaran program Tenaga Mampan Sabah Untuk Rakyat di Pacific Sutera, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman turut menyerikan majlis berkenaan.
Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atas komitmen berterusan mereka dalam memacu pembangunan sektor tenaga Negeri menerusi pendekatan yang progresif, berpandangan ke hadapan, dan berteraskan rakyat.
“Hari ini, kita menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam merealisasikan aspirasi tersebut dengan pelancaran Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP) dan Program Solar Rakyat Sabah.”
Hajiji berkata pelbagai inisiatif yang dilancarkan hari ini membentuk satu ekosistem yang saling melengkapi.
“Pengiktirafan projek solar, pelaksanaan inisiatif Kerajaan Menerajui Teladan (Government Lead by Example), kerjasama dengan institusi latihan, pembangunan usahawan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat, mencerminkan bahawa pembangunan tenaga mampan memerlukan penyertaan daripada semua pihak yang berkepentingan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata Kerajaan Negeri mahu melihat tenaga digunakan secara lebih berhemat dan cekap di semua sektor.
“Kita mahu lebih ramai rakyat Sabah berpeluang untuk mengambil bahagian dalam penggunaan tenaga boleh baharu. Kita juga mahu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, pelaburan, dan pembangunan industri tenaga yang mampu menjana nilai lebih besar bagi ekonomi Negeri.
“Peralihan tenaga bukan sekadar mengenai teknologi. Ia adalah satu transformasi yang melibatkan dasar, pelaburan, pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi, serta kerjasama erat antara Kerajaan, industri, institusi pendidikan, dan masyarakat.
“Kerjasama seumpama ini amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Hajiji berkata dalam merancakkan pembangunan ekonomi Negeri, Kerajaan Negeri akan terus memastikan sektor tenaga berkembang secara terancang, mampan, dan berdaya tahan.
“Untuk tujuan ini, kita akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, ECoS, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, sektor swasta, dan semua pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan Sabah mempunyai sistem tenaga yang mampu menyokong pembangunan Negeri untuk dekad-dekad akan datang,” katanya.-pr/BNN





