SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata keamanan mesti dipelihara dalam amalan dengan mempertahankan maruah manusia, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan dan tidak memejamkan mata terhadap penderitaan orang lain.
“Kita mesti menolak kebencian, tindakan merendahkan nilai kemanusiaan dan sikap tidak peduli yang memungkinkan penderitaan seperti ini berlaku. Sejarah ini tidak seharusnya digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya, ia mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dibawa oleh kebencian.
“Kemenangan semata-mata tidak pernah mencukupi sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar,” katanya pada Upacara Peringatan Hari Sandakan di Taman Peringatan Sandakan di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata antara 1942 dan 1945, ketika kemuncak Perang Dunia Kedua, kira-kira 2,700 tawanan perang Australia dan British telah melalui Sandakan dalam peristiwa Death March ke Ranau.
Menjelang Januari 1945, seramai 2,434 orang masih berada di situ, terdiri daripada 1,793 warga Australia dan 641 anggota tentera British.
Daripada jumlah itu, 2,428 orang meninggal dunia dan hanya enam warga Australia terselamat, kesemuanya selepas berjaya melarikan diri.
“Hari ini, kita juga mengenang enam orang yang terselamat, iaitu Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham,” katanya.
Beliau berkata kelangsungan hidup mereka adalah sesuatu yang luar biasa, namun mereka tidak menyelamatkan diri tanpa bantuan, khususnya Owen Campbell yang dibantu oleh dua penduduk tempatan dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud.
Katanya, terdapat juga individu lain yang namanya wajar dikenang seperti Bariga, Dihil bin Ambilid, Abing, Kulang dan ramai lagi yang keberanian mereka mungkin tidak akan dapat direkodkan sepenuhnya.
“Terdapat juga usaha terancang oleh penduduk tempatan, termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan, yang mengumpul maklumat dan membantu para tawanan meskipun berdepan risiko yang amat besar. Sebahagian anggota gerakan bawah tanah itu telah dihukum mati.
“Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri. Apabila melihat penderitaan, mereka memilih untuk membantu. Keberanian mereka adalah sebahagian daripada sejarah Sandakan dan Sabah, dan ia mesti terus dikenang.
“Kadangkala keberanian itu berupa sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadangkala ia berupa tempat untuk berlindung. Kadangkala ia berupa sebuah perahu yang berpatah balik menuju kepada seseorang yang meminta pertolongan,” katanya.
Hajiji berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua.
“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda mengenai apa yang berlaku di sini, dan terus mengenang nama para tawanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.-pr/BNN





