KOTA KINABALU: Pengumuman Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang menarik diri daripada menyokong kerajaan GRS sudah dijangka sebelum ini.

Bendahari PGRS Apas; Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ini memandangkan terdapat ura-ura parti tersebut akan menyertai satu blok pembangkang baharu yang diketuai oleh Parti Warisan.

Jelasnya walau apa pun, kerajaan dipimpin oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS; Datuk Seri Hajiji Noor dilihat kekal ampuh apatah lagi seorang wakil rakyat PKDM menyuarakan sokongan kepada kerajaan GRS dan bukannya parti tersebut.

“Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Ali dalam kenyataan medianya telah mendedahkan bahawa ADUN tunggal PKDM yakni wakil rakyat Paginatan, Datuk Rusdin Riman menyatakan komitmen beliau terhadap kerajaan dan kekal menyokong YAB Ketua Menteri.

“Keputusan parti berkenaan untuk menarik sokongan juga sebenarnya sudah dijangka apabila blok pembangkang diketuai Parti Warisan baru-baru ini menyatakan bahawa mereka sedang berura-ura membentuk pakatan baharu di mana PKDM di sebut dalam rancangan pembentukan itu.

“Saya percaya dan yakin, keputusan berkenaan tidak memberi sebarang kesan kepada GRS malah memudahkan pentadbiran sedia ada tanpa dibayangi gerak geri musuh dalam selimut.

“Rakyat atau pemerhati politik juga boleh menilai parti ini yang mana ADUN mereka sendiri tidak menyokong keputusan parti manakala Timbalan Presiden mereka juga difahamkan tidak sehaluan dengan mereka dan dikhabarkan akan menyertai sebuah parti nasional tidak lama lagi, “katanya.

Menurut Najib Tay lagi, dengan perkembangan baharu itu, GRS dijangka kekal utuh dan proses pelaksanaan pentadbiran juga berjalan lancar tanpa melibatkan mana-mana pihak yang mempunyai komitmen meragukan.-pr/BNN