KIULU: Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan aktiviti perkhemahan sebagai salah satu produk pelancongan, berikutan negeri ini memiliki sungai, gunung dan pantai yang sesuai untuk aktiviti berkenaan.

Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia Sabah, Nasrul Hadi Menan, berkata Tourism Malaysia menyokong aktiviti perkhemahan sebagai antara acara minat khas bagi penggemar aktiviti luar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada edisi ketiga Jom Camping 2026 yang berlangsung di Kiulu Adventure Centre dari 29 hingga 31 Ogos lalu.

Menurutnya, jumlah penyertaan pada tahun ini sedikit menurun berbanding edisi terdahulu, terutama disebabkan peningkatan kos tambang penerbangan bagi peserta dari luar Sabah.

“Bagi acara sebelum ini, kita menerima peserta dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei. Namun, kali ini kos tambang penerbangan meningkat menyebabkan mereka berfikir dua kali untuk datang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sokongan daripada syarikat swasta termasuk dalam bentuk penajaan dan sumbangan hadiah masih menggalakkan.

Katanya, majoriti peserta pada edisi kali ini adalah dari Sabah, termasuk bukan warga Sabah yang menetap di negeri ini.

Sementara itu, penganjur Jom Camping 2026, Saffary Dino Osman daripada Borneo Beautiful, berkata program berkenaan dianjurkan setiap dua tahun dengan menggabungkan aktiviti perkhemahan dan pelbagai kegiatan luar.

Beliau berkata edisi pertama diadakan di River Bay Beach, Tuaran pada 2022, diikuti edisi kedua di Padas, Tenom pada 2024.

Menurutnya, edisi terbaharu itu menarik kira-kira 75 peserta, sedikit menurun berbanding edisi sebelumnya berikutan peningkatan yuran penyertaan bagi menampung kos penganjuran.

“Konsep kita adalah memberi peluang kepada peserta menyertai pelbagai aktiviti seperti berakit dan zipline.

“Pada masa sama, program ini turut memberi ruang kepada mereka, khususnya individu yang introvert atau sukar berkenalan dengan orang baharu, untuk membina hubungan dengan individu lain yang mempunyai minat sama,” katanya.

Saffary berkata Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan aktiviti perkhemahan sebagai produk pelancongan berikutan kelebihan negeri ini yang mempunyai sungai, kawasan pergunungan dan pantai.

Katanya, cabaran utama bukan disebabkan kekurangan tarikan, sebaliknya masih kurang pakej perkhemahan tersusun yang menggabungkan aktiviti luar.

Beliau mencadangkan supaya pakej perkhemahan dibangunkan dengan konsep peserta berkhemah di satu lokasi pada hari pertama sebelum bergerak ke Kundasang pada hari berikutnya, diikuti destinasi seperti Kota Belud atau Melangkap.

Menurutnya, pakej sedemikian mampu menawarkan pengalaman berbeza kepada pelancong, daripada aktiviti sungai dan pergunungan hinggalah pengalaman di kawasan pantai, selain membantu mempromosikan produk pelancongan di destinasi terbabit.

Saffary berkata, tapak perkhemahan di Sabah juga relatif berpatutan, dengan kadar sekitar RM15 hingga RM35 semalam berbanding sesetengah tapak perkhemahan di Semenanjung Malaysia yang boleh mencecah sekitar RM100 semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti perkhemahan masih belum mendapat pengiktirafan setara dengan produk pelancongan yang lebih popular seperti pengalaman mendaki gunung dan percutian pulau.

Beliau menyifatkan sektor pelancongan berasaskan aktiviti luar sebagai segmen yang masih baharu dan mempunyai ruang besar untuk berkembang.

Katanya, pengalaman daripada penganjuran edisi terbaharu akan digunakan bagi menambah baik penganjuran akan datang, khususnya dari aspek aktiviti, logistik, pengurusan peserta dan operasi keseluruhan program.

Beliau turut berkata persahabatan yang terjalin dalam edisi-edisi terdahulu masih berterusan menerusi kumpulan WhatsApp yang diwujudkan untuk peserta.-BNN