KOTA KINABALU: Penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu disusuli tindakan konkrit bagi mengembalikan keseimbangan satu pertiga kerusi di Parlimen kepada kedua-dua negeri itu.

Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, berkata beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak yang disifatkannya sebagai perkembangan positif dan penting.

Beliau turut menyokong penuh gesaan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya cadangan itu disusuli tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi kenyataan hasrat.

“Prinsipnya jelas: Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen, selaras dengan semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya dalam pandangan beliau di Facebook.

Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mewujudkan satu keseimbangan penting dalam perwakilan Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, keseimbangan itu berubah dan pada pandangannya, pembahagian kerusi Parlimen sepatutnya disusun semula ketika itu bagi mengekalkan prinsip satu pertiga untuk negeri-negeri Borneo.

“Oleh itu, isu ini bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah soal mengembalikan satu keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, selepas lebih 60 tahun, sudah tiba masanya prinsip itu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, langkah-langkah konkrit dan pelaksanaan.

“Mengembalikan keseimbangan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia. Sebaliknya, ia akan memperkukuhkan perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia,” katanya.-pr/BNN