KOTA KINABALU: Bayaran pampasan kepada pemilik tanah yang diambil bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo perlu disegerakan dan kelewatan berkenaan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan tanpa sebab munasabah.

Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius selepas pejabatnya menerima beberapa aduan daripada pemilik tanah mengenai kelewatan pembayaran pampasan.

Beliau berkata, susulan aduan berkenaan, beliau pagi ini mengadakan perbincangan dengan wakil Jabatan Tanah dan Ukur berhubung pampasan bagi tanah yang diambil untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya menegaskan bahawa kelewatan pembayaran pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat perlu diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan tanpa sebab yang munasabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Salleh, perbincangan itu memberi tumpuan kepada mengenal pasti punca sebenar kelewatan, menyelesaikan kes-kes yang masih tertunggak serta menentukan langkah yang perlu diambil bagi mempercepatkan pembayaran.

“Lebuhraya Pan Borneo merupakan projek pembangunan penting bagi Sabah, namun hak dan kepentingan pemilik tanah yang terjejas juga perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang layak menerima pampasan tidak seharusnya menunggu lebih lama daripada yang diperlukan.

“Keutamaan adalah untuk memastikan isu-isu yang masih tertunggak ditangani dengan segera dan proses pembayaran pampasan dilaksanakan secara cekap, adil serta tanpa kelewatan yang tidak perlu,” katanya.

Salleh berkata, langkah mengenal pasti punca kelewatan dan menyelesaikan kes tertunggak perlu diberi perhatian bagi memastikan proses pembayaran pampasan dapat dipercepatkan.

Beliau menegaskan hak dan kepentingan pemilik tanah yang terjejas perlu diberi perhatian sewajarnya sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.-pr/BNN