KOTA KINABALU: Pelarasan tarif elektrik sebanyak 15 peratus bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya pelaburan struktur bagi menjamin kestabilan grid dan keterjaminan bekalan tenaga Sabah dalam jangka panjang.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata kira-kira 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan teruk kerana hanya mengalami impak minimum.
Beliau berkata, tindakan pembangkang memutarbelitkan isu pelarasan tarif itu disifatkan sebagai retorik politik murahan yang bankrap idea.
“Rasional pelarasan ini wajib dilihat bersama dengan lonjakan prestasi di bawah Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sejak pengambilalihan kuasa kawal selia oleh Kerajaan Negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Aksyah berkata, di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, jidar simpanan (reserve margin) penjanaan tenaga Sabah meningkat daripada paras kritikal lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu.
Katanya, jidar simpanan itu dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini, sekali gus memperlihatkan peningkatan kapasiti rizab penjanaan tenaga Sabah.
“Kestabilan dan jaminan tenaga ini amat kritikal bagi wilayah luar bandar seperti Kinabatangan. Kita tidak boleh bertolak ansur lagi dengan episod catuan bekalan (blackout) kronik yang selama ini merencat potensi ekonomi rakyat di Sukau, Kuamut dan Lamag,” katanya.
Menurutnya, pelarasan tarif yang berhemah itu adalah pelaburan struktur demi memastikan kestabilan grid jangka panjang dapat dinikmati secara seimbang sehingga ke peringkat akar umbi.
Beliau berkata, melalui perancangan Majlis Tenaga Sabah (MTS), projek berimpak tinggi seperti loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau, penambahan Solar Berskala Besar (LSS) serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) kini giat dilaksanakan bagi memperkukuh keterjaminan bekalan, khususnya di Pantai Timur.
“Pembangkang hanya tahu mengkritik demi talian hayat politik mereka. Sebaliknya, kerajaan hari ini bertindak bertanggungjawab memulangkan semula setiap sen pelarasan kos dalam bentuk kestabilan grid yang kalis cabaran demi menjayakan agenda,” katanya.-pr/BNN





