KUALA LUMPUR: Seramai 4,255 pegawai perubatan lantikan tetap Gred UD10 (Fasa 2/2026) sedang menjalani proses lapor diri di fasiliti penempatan masing-masing yang masih belum selesai.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, urusan lantikan tetap itu berkuat kuasa mulai 28 September lalu, dengan penempatan pegawai ditawarkan menerusi sistem ePlacement.
Sehubungan itu, KKM menyeru pegawai perubatan yang masih belum melapor diri supaya segera melengkapkan urusan berkenaan di Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing sebelum tarikh akhir pada 7 Oktober ini.
KKM turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berhubung proses berkenaan dan memberi ruang bagi memastikan urusan penempatan berjalan lancar.
“Proses lapor diri pegawai ke fasiliti penempatan masing-masing masih sedang berlangsung dan belum selesai,” menurut kenyataan KKM hari ini.-pr/BNN





