KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyumbang bagi membantu melancarkan persiapan Program Unified Sports Special Olympics Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, di sini, pada 31 Oktober ini.

Sumbangan disampaikan Pengerusi PKMB, Hj. Yazid Hj. Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, kepada Shirley Bonnie Huggim pada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan di Bilik Pentadbiran SK Bingkor.

Yazid berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu menjayakan program berkenaan yang menyediakan peluang kepada individu kelainan upaya menyertai aktiviti sukan dalam suasana inklusif.

Beliau berkata, sokongan terhadap program seumpama itu penting bagi membina masyarakat prihatin dan inklusif, selain memberi ruang kepada peserta menyerlahkan potensi diri melalui sukan.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat membantu pihak penganjur melaksanakan program dengan lancar dan mencapai matlamatnya.

“PKMB komited menyokong usaha kebajikan dan kemasyarakatan, termasuk inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak, termasuk agensi kerajaan, sekolah, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan masyarakat setempat, dapat memberikan kerjasama bagi menjayakan program itu.

Program berkenaan diharap bukan sahaja menggalakkan penyertaan dalam sukan, malah memupuk persahabatan, kerjasama, saling menghormati dan kesamarataan dalam kalangan peserta.-pr/BNN