KOTA KINABALU: Sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang 2026, mencerminkan kemajuan pelaksanaan agenda pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata pencapaian itu turut disusuli peningkatan prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah daripada 52.07 peratus pada 10 Ogos kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober.

“Peningkatan sebanyak 19.71 mata peratusan dalam tempoh kurang tiga bulan ini amat membanggakan dan memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata kejayaan menyiapkan projek berkenaan hasil kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.

Antara projek yang siap ialah Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang, yang akan menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas perhatian berterusan terhadap agenda pembangunan Sabah, termasuk penekanan terhadap kecekapan pelaksanaan projek, penyelarasan antara agensi dan penggunaan peruntukan secara optimum.

Beliau menyokong gesaan Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah supaya kementerian dan agensi pelaksana mempergiat usaha serta menetapkan tindakan penyelesaian yang jelas bagi memastikan kelancaran projek.

“Pendekatan berorientasikan hasil penting supaya setiap perancangan kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.

Nizam turut menyambut baik peningkatan peruntukan kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027, iaitu RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026.

Katanya, keutamaan kepada projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek STATCOM di Sandakan dan Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang amat dialu-alukan.

Beliau berkata peruntukan hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, juga diharap dapat meningkatkan kemudahan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.

“Dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kita yakin momentum pembangunan ini dapat diteruskan bagi merancakkan ekonomi, memperluas kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam serta semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana yang menyumbang kepada pencapaian itu.-pr/BNN