TENOM: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu Pesta Kalimaran pada masa akan datang terus diperkasakan dengan melibatkan lebih ramai usahawan tempatan dan pemain industri pelancongan.

“Kita mahu penglibatan lebih ramai pengusaha kecil, usahawan tempatan, penggiat kraftangan, pengusaha makanan, pengusaha inap desa serta pemain industri pelancongan,” katanya.

Hajiji berkata penganjuran pesta seperti ini juga amat selari dengan usaha kerajaan negeri yang mahu setiap daerah di Sabah membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Pesta ini akan memperkukuhkan lagi industri pelancongan budaya, di samping memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk tempatan dan memperkukuhkan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya pada majlis perasmian Ilau Kalimaran (Pesta Kalimaran) di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.

Ketua Menteri menyeru kepada anak-anak muda, khususnya generasi muda Murut agar tidak melupakan budaya etnik masing-masing.

“Jangan anggap budaya tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Sebaliknya, jadikan budaya sebagai satu kekuatan dan peluang. Gunakan teknologi digital dan media sosial untuk memperkenalkan budaya Murut kepada dunia.

“Dokumentasikan tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, cerita rakyat dan adat resam kita. Kita mahu melihat generasi muda menjadi duta budaya Sabah. Jika kita tidak mengambil langkah untuk memelihara budaya kita hari ini, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada identiti kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata anak-anak muda Murut perlu terus mengingati Datuk Seri Panglima Ontoros bin Endoi @ Antanom atau lebih dikenali sebagai Antanom yang merupakan lambang keberanian, keteguhan pendirian dan semangat perjuangan.

“Namun, semangat Antanom yang ingin kita warisi bukan semata-mata tentang keberanian untuk berjuang, tetapi juga tentang maruah, harga diri, kepimpinan, kesetiaan kepada tanah air dan kecintaan kepada masyarakat.

“Nilai-nilai ini amat relevan dalam kehidupan kita pada hari ini. Saya mahu semangat Antanom terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah supaya mereka menjadi generasi yang menghargai tanah air, mengekalkan perpaduan, berani menghadapi cabaran, berilmu, berkemahiran, mempunyai jati diri dan sentiasa memberikan sumbangan kepada negeri dan negara,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri komited untuk memastikan khazanah kebudayaan semua etnik di Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan dipromosikan.

“Hal ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pemetaan dan dokumentasi budaya etnik Sabah bagi memastikan kepelbagaian budaya negeri ini terus menjadi khazanah untuk generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus memperkasakan Kemabong melalui pembangunan sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan, pembangunan infrastruktur dan ekonomi setempat.

Penganjuran acara besar seperti Pesta Kalimaran juga dapat membantu memperkenalkan Kemabong sebagai salah satu destinasi kebudayaan dan pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri di Sabah.

“Saya percaya dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan sokongan padu daripada rakyat, Kemabong akan terus berkembang dan menikmati limpahan pembangunan,” katanya.

Hajiji turut mengajak semua untuk menjadikan Pesta Kalimaran sebagai satu kesempatan untuk memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan.

“Marilah kita terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan negeri ini. Janganlah kita membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan.

Saya percaya, dengan perpaduan dan kestabilan, kita mampu meneruskan agenda pembangunan melalui Sabah Maju Jaya,” katanya.-pr/BNN