KOTA KINABALU: Agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan institusi kewangan, persatuan industri dan sektor swasta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani cabaran perniagaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Sabah kerana sektor itu mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi sumber pendapatan masyarakat di bandar, daerah serta kawasan luar bandar.
“Namun, banyak PKS masih berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, teknologi dan pasaran yang lebih luas, manakala peningkatan kos terus memberi tekanan kepada operasi perniagaan mereka,” katanya, sambil menambah penggunaan teknologi digital mampu membantu perniagaan mengatasi kekangan jarak dan lokasi.
“Menerusi e-dagang, media sosial dan pembayaran digital, usahawan di kawasan luar bandar Sabah juga mampu menjangkau pelanggan di luar komuniti mereka.
“Kita juga perlu memastikan golongan wanita, belia dan perusahaan berasaskan komuniti mendapat sokongan serta peluang yang diperlukan untuk terus berkembang, katanya pada majlis perasmian BIGSABAH Sale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, penganjuran acara seperti BIGSABAH Sale 2026 yang menghimpunkan pempamer dari 12 negara dan sembilan negeri di Malaysia sudah pasti dapat membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau berkata, kedudukan strategik Sabah dalam kawasan BIMP-EAGA menawarkan peluang perdagangan dengan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, pengeluaran makanan, logistik dan perkhidmatan.
“Bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, perniagaan tempatan perlu terus meningkatkan kualiti produk, penjenamaan dan pembungkusan. Produk makanan tempatan, kraftangan, hasil pertanian dan perkhidmatan kita mempunyai potensi pasaran yang jauh lebih luas, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di luar negeri ini,” katanya.
Ketua Menteri turut berharap penyertaan pempamer dari luar negara dan Semenanjung Malaysia dapat membantu mewujudkan hubungan perdagangan yang berkekalan, peluang pengedaran produk serta pelaburan.
“Kita mahu melihat penglibatan perniagaan dengan perniagaan (B2B) yang lebih kukuh dapat membantu usahawan kita melangkaui sekadar mempamerkan produk kepada menjalin kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Ketua Menteri berkata, ketika Kerajaan Negeri berusaha mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat pada 2026 dan membuat persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, keutamaan perlu diberikan bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan turut memberi manfaat kepada rakyat tempatan.
“Pertambahan jumlah pelawat seharusnya membawa lebih banyak peluang kepada peruncit, pengeluar makanan, penyedia perkhidmatan dan perniagaan berasaskan komuniti di Sabah. “Di sinilah BIGSABAH Sale dapat menyumbang kepada usaha tersebut.
Kehadiran pempamer, pembeli dan pengunjung akan meningkatkan permintaan terhadap penginapan, pengangkutan, makanan serta pelbagai perkhidmatan tempatan.
“Manfaatnya juga boleh berterusan selepas acara ini berakhir apabila sesuatu pertemuan membawa kepada tempahan pembelian, perjanjian pengedaran atau pelaburan baharu,” katanya.
Hajiji turut menggalakkan semua pempamer supaya memanfaatkan peluang itu untuk bertemu pembeli, bertukar-tukar idea dan menjalin kerjasama perniagaan.
“Semoga tema ‘Across Markets, Beyond Borders’ menjadi inspirasi kepada usahawan Sabah untuk melangkah lebih jauh dengan penuh keyakinan. Tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur dan semua rakan kerjasama atas penganjuran BIGSABAH Sale 2026. Saya berharap acara ini memberikan hasil yang produktif dan kejayaan kepada semua pihak,” katanya.-pr/BNN





