PULAU PINANG: Jumlah pelancong dari Pulau Pinang ke Sabah pada 2025 hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah pelancong dari Sabah ke Pulau Pinang, iaitu masing-masing seramai 243,900 orang dan 64,500 orang.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man berkata, daripada setiap lima individu yang melakukan perjalanan antara kedua-dua destinasi itu, empat daripadanya merupakan pelancong dari Pulau Pinang ke Sabah, manakala seorang lagi dari Sabah ke Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kehadiran sekumpulan pengamal media dan pempengaruh media sosial dari Sabah yang menyertai program lawatan suai kenal (Familiarisation Trip) Mansau-Ansau VM2026 selama enam hari di pejabat Tourism Malaysia Pulau Pinang.

Rombongan berkenaan diketuai Pegawai Pelancongan, Fariza Zakaria, dengan program berlangsung dari 29 Oktober hingga 3 November lalu bagi mempromosikan destinasi pelancongan di wilayah utara Semenanjung Malaysia sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

Menurut Abdul Hadi, Sabah mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dari Pulau Pinang, khususnya destinasi sekitar Kota Kinabalu dan Semporna.

Katanya, antara aktiviti yang menjadi pilihan pelancong di Kota Kinabalu termasuklah aktiviti island hopping ke Pulau Sapi dan Pulau Manukan, membeli-belah di pusat bandar, mengunjungi Pasar Filipina serta menikmati hidangan makanan laut.

Malah, terdapat juga pelancong yang meneruskan perjalanan ke Tawau dan Semporna untuk meneroka keindahan pulau-pulau di kawasan berkenaan.

“Semporna sering digambarkan sebagai Maldives Malaysia kerana keindahan pulau serta resort atas air yang dimilikinya. Ini merupakan antara keunikan Sabah yang tidak terdapat di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyarankan pelancong mengunjungi Pulau Bohey Dulang yang menawarkan pengalaman mendaki ke puncak bagi menikmati panorama indah kepulauan sekitarnya.

Berkongsi pengalamannya, Abdul Hadi berkata beliau pernah mengunjungi Kota Kinabalu, Sungai Klias untuk melihat monyet proboscis, selain Pulau Sipadan dan Pulau Mabul.

Bagaimanapun, beliau menyatakan hasrat untuk kembali ke Semporna bagi meneroka keindahan pulau-pulau di kawasan itu.

Mengulas tarikan yang boleh menarik lebih ramai rakyat Sabah ke Pulau Pinang, beliau berkata kedua-dua destinasi mempunyai keistimewaan tersendiri, khususnya dari segi kepelbagaian makanan.

“Sabah terkenal dengan makanan laut, manakala Pulau Pinang pula lebih sinonim dengan makanan jalanan atau street food,” katanya.

Menurutnya, makanan jalanan Pulau Pinang turut mendapat pengiktirafan Michelin, dengan nasi lemak bungkus dan pisang goreng antara sajian tempatan yang boleh dinikmati pengunjung.

Selain itu, kedua-dua destinasi turut mempunyai pengiktirafan UNESCO, dengan George Town di Pulau Pinang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, manakala Gunung Kinabalu di Sabah turut mendapat pengiktirafan berkenaan.

Abdul Hadi berharap lebih ramai rakyat Sabah berkunjung ke Pulau Pinang, begitu juga penduduk Semenanjung Malaysia melancong ke Sabah bagi membolehkan masyarakat kedua-dua destinasi saling mengenali budaya masing-masing sekali gus mengeratkan hubungan.

Dalam aspek kerjasama pelancongan, beliau berkata kedua-dua negeri boleh memanfaatkan jaringan penerbangan antarabangsa masing-masing bagi menarik pelancong dari pasaran luar negara.

Katanya, Sabah mempunyai penerbangan dari Korea Selatan dan, setakat pengetahuannya, Jepun, manakala Pulau Pinang menerima penerbangan dari China, India dan Singapura.

Pulau Pinang juga dijangka menerima penerbangan dari Warsaw, Poland bermula November ini, dengan perkhidmatan mingguan sehingga Mac tahun hadapan.

Justeru, beliau melihat Pulau Pinang berpotensi menjadi pintu masuk kepada pelancong antarabangsa sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Sabah.

Beliau turut mencadangkan supaya agensi pelancongan menggabungkan kedua-dua destinasi dalam satu pakej pelancongan selama satu hingga dua minggu.

Inisiatif itu bukan sahaja dapat memperluas pasaran pelancongan kedua-dua negeri, malah memberi peluang kepada pelancong antarabangsa menikmati keunikan Pulau Pinang sebelum meneruskan pengembaraan ke Sabah.