KOTA KINABALU: Borneo Rainforest Lodge (BRL) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih tiga pengiktirafan pada Hospitality Asia Platinum Awards (HAPA) 2026 Siri 3 (Hospitality & Tourism) dan The Hospitality Celebration 2026.

Ketua Pegawai Operasi (COO) BRL, Abd Sail Jamaludin, dinobatkan sebagai COO of the Year, manakala resort berkenaan turut tersenarai dalam Top 10 bagi kategori Service Excellence – Eco/Green Resort dan Resort – Eco/Green Resort.

Abd Sail bersama anggota pasukan pemasaran, Sylviana Chong, Rachel Abrianna dan Sonia Rahim, menghadiri sambutan ulang tahun ke-32 anugerah berkenaan yang berlangsung di Petaling Jaya pada 28 Oktober lalu.

Beliau berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak resort terhadap kecemerlangan hospitaliti, mutu perkhidmatan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menurutnya, kejayaan itu hasil dedikasi, kerjasama berpasukan serta komitmen seluruh warga kerja dalam menyediakan pengalaman terbaik kepada tetamu, di samping memelihara persekitaran semula jadi lokasi operasi mereka.

Borneo Rainforest Lodge yang beroperasi di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum menawarkan pengalaman penginapan mewah dalam salah satu ekosistem hutan hujan tropika yang terkenal di dunia.

Abd Sail berkata, pihaknya sentiasa memberikan tumpuan kepada kecemerlangan perkhidmatan, tanggungjawab alam sekitar dan pengalaman autentik kepada tetamu.

Katanya, usaha penambahbaikan kemudahan dan standard perkhidmatan turut dilaksanakan secara berterusan, selain pelaburan dalam pembangunan kakitangan serta pengukuhan amalan kelestarian.

Menurutnya, walaupun tetamu dari seluruh dunia menghargai keselesaan dan layanan peribadi, pengalaman menikmati keindahan alam semula jadi dalam persekitaran asal merupakan tarikan utama yang sukar dilupakan.

Mengulas mengenai kempen Tahun Melawat Sabah 2027 (VM2027), beliau berkata, kempen itu membuka peluang untuk memperkukuh reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi bertaraf dunia.

Sehubungan itu, BRL merancang memperluas kehadiran dalam pasaran antarabangsa menerusi kerjasama lebih erat dengan rakan industri pelancongan, pakar pengembaraan dan pengendali pelancongan antarabangsa.

Selain itu, pihaknya turut merancang meningkatkan pengalaman tetamu melalui aktiviti khusus berasaskan alam semula jadi, program pendidikan dan perkhidmatan hospitaliti yang lebih peribadi.

Bagaimanapun, Abd Sail menegaskan bahawa matlamat BRL bukan sekadar meningkatkan jumlah kedatangan pelancong, sebaliknya menarik pengunjung yang menghargai alam sekitar dan mengamalkan pelancongan bertanggungjawab.

Beliau berkata, masa depan pelancongan alam semula jadi berkualiti perlu mengutamakan nilai berbanding jumlah pengunjung, dengan kejayaan industri tidak hanya diukur berdasarkan angka ketibaan pelancong, tetapi juga mutu pengalaman dan manfaat jangka panjang kepada Sabah.

Dalam pada itu, BRL berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan negeri melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, peluang perniagaan serta pembangunan bakat dalam sektor hospitaliti.

Beliau berkata, visi BRL adalah untuk menjadi lebih daripada sekadar destinasi peranginan hutan hujan mewah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sebaliknya menjadi contoh bagaimana pelancongan mampu menjana nilai berkekalan sambil melindungi warisan alam semula jadi untuk generasi akan datang.-BNN