KENINGAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P.180 Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan, turun padang menyantuni penduduk Kampung Bayangan Atas bagi mendengar sendiri permasalahan dan keperluan asas yang memerlukan perhatian pihak berkaitan.
Dalam pertemuan bersama penduduk itu, beberapa isu utama dibangkitkan, termasuk masalah bekalan air bersih yang semakin meruncing, keperluan kemudahan gelanggang sukan dan riadah serta isu berkaitan penubuhan dan pengiktirafan rasmi kampung berkenaan.
Penduduk turut menyuarakan harapan supaya Kampung Bayangan Atas diberikan status perkampungan secara rasmi bagi memastikan identiti dan kedudukan kampung itu mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Mengambil perhatian terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk, Azman turut menyampaikan sumbangan kewangan bagi membantu usaha menangani masalah bekalan air bersih yang menjadi antara keperluan mendesak masyarakat setempat.
Beliau berkata, setiap permasalahan rakyat perlu diberikan perhatian, justeru pendekatan turun padang penting bagi membolehkan keadaan sebenar dikenal pasti menerusi pertemuan dan maklum balas secara langsung daripada penduduk.
Menurutnya, usaha mendengar sendiri suara masyarakat bukan sekadar untuk mengetahui masalah yang dihadapi, sebaliknya menjadi langkah awal mengenal pasti ruang penyelesaian yang boleh diusahakan bersama pihak berkaitan.
Azman berkata, beliau akan terus mendekati masyarakat bagi membawa isu dan keperluan penduduk Keningau ke perhatian pihak berkenaan, khususnya membabitkan kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus mendengar suara rakyat dan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang dibangkitkan.-pr/BNN





