KOTA KINABALU: Penyertaan lebih ramai golongan belia dalam industri agromakanan perlu dipertingkatkan bagi memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang sebagai industri perniagaan yang mampu menjana kekayaan baharu dan peluang pekerjaan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor supaya lebih ramai belia menceburi industri berkenaan wajar diberikan perhatian semua pihak.
Katanya, sektor pertanian, penternakan dan perikanan mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber ekonomi baharu, terutama kepada golongan muda yang mahu membina kerjaya dan mengusahakan perniagaan sendiri.
“Persepsi bahawa pertanian hanya bergantung kepada kaedah tradisional perlu diubah. Industri ini mempunyai ruang luas untuk berkembang sebagai bidang perniagaan moden, produktif dan mampu memberikan pulangan ekonomi.
“Penglibatan golongan muda amat penting bagi memastikan sektor agromakanan mempunyai tenaga kerja baharu yang mampu membawa idea, inovasi dan pendekatan lebih segar dalam industri ini,” katanya.
Nazri berkata demikian ketika mengetuai delegasi Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha menarik minat golongan belia perlu disertai pendedahan, latihan kemahiran dan peluang untuk mereka terbabit secara langsung dalam aktiviti pertanian, penternakan serta perikanan.
Katanya, pembangunan industri agromakanan juga perlu memberi perhatian kepada penghasilan produk bernilai tambah, termasuk aktiviti pemprosesan dan pemasaran bagi memperluas peluang perniagaan dalam kalangan pengusaha muda.
Beliau turut menyambut baik penekanan Ketua Menteri terhadap keperluan mengubah sektor pertanian, penternakan dan perikanan daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran lebih moden, cekap dan berorientasikan pasaran.
Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan sektor agromakanan Sabah terus berdaya saing serta berupaya memenuhi permintaan pasaran tempatan dan lebih luas.
Nazri berkata, PPNS menyokong hala tuju kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Beliau berkata, kunjungan hormat itu juga bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PPNS kepada Ketua Menteri.
Dalam kunjungan itu, PPNS turut memohon sokongan Ketua Menteri supaya ahli peladang berusia 70 tahun yang masih menjadi pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dibenarkan bertanding dan menyandang jawatan dalam PPK atau Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), bagi membolehkan mereka terus menyumbang pengalaman dalam kepimpinan gerakan peladang.-pr/BNN





