KOTA KINABALU: KPJ Sabah Specialist Hospital (KPJ Sabah), hospital di bawah rangkaian KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), melancarkan inisiatif Pengalaman Pelancongan Kesihatan menerusi penyediaan Lounge Pesakit Antarabangsa (IPL) dan pengenalan perkhidmatan rawatan High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU).

Pelancaran itu bertujuan memperkukuh kemudahan penjagaan kesihatan hospital berkenaan, selain meningkatkan pengalaman pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan di Sabah.

Lounge Pesakit Antarabangsa (IPL) berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membantu pesakit luar negara dan ahli keluarga mereka, merangkumi urusan pertanyaan awal, penyelarasan janji temu serta pengurusan rawatan.

Kemudahan itu menyediakan sokongan yang lebih tersusun dan memudahkan pesakit antarabangsa sepanjang mendapatkan perkhidmatan perubatan di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, pengenalan teknologi HIFU bagi rawatan fibroid rahim dan adenomyosis turut memperluas pilihan rawatan pakar yang ditawarkan KPJ Sabah.

Teknologi berkenaan menggunakan tenaga gelombang ultrabunyi berfokus untuk menyasarkan tisu yang terjejas tanpa memerlukan insisi pembedahan, sekali gus menawarkan alternatif rawatan tanpa pembedahan kepada pesakit yang sesuai berdasarkan penilaian pakar.

Selain itu, teknologi HIFU turut mempunyai aplikasi dalam beberapa bidang perubatan lain termasuk urologi, hepatobiliari dan onkologi.

Antara perkhidmatan kepakaran sedia ada di KPJ Sabah termasuk Pusat Kanser, Neurosurgeri, Radiologi Neurointervensi, Kardiologi, Pengimejan Diagnostik serta Pembedahan Plastik, Estetik dan Rekonstruktif.

Pembangunan pelancongan kesihatan juga dilihat sebagai peluang untuk Sabah mempelbagaikan produk pelancongan menerusi kerjasama lebih erat antara sektor kesihatan, hospitaliti dan pelancongan.

Kedudukan geografi Sabah yang strategik serta akses kepada negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan China turut membuka peluang untuk menarik lebih ramai pesakit antarabangsa mendapatkan rawatan di negeri ini.

Bagaimanapun, usaha memperkukuh sektor berkenaan memerlukan kerjasama antara penyedia perkhidmatan kesihatan, agensi pelancongan, hotel, pengendali pelancongan dan pemain industri lain bagi memastikan pengalaman perjalanan perubatan yang lebih lancar dan menyeluruh.

Inisiatif itu turut berpotensi mewujudkan peluang perniagaan baharu serta memberikan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan hospitaliti Sabah.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Dr Andi Md Shamsureezal, dengan kehadiran barisan kepimpinan sektor kesihatan, penggiat industri pelancongan, rakan korporat serta tetamu jemputan.

Menerusi inisiatif Pengalaman Pelancongan Kesihatan itu, KPJ Sabah berharap dapat menyumbang kepada usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan kesihatan serantau, di samping meneruskan komitmen menyediakan perkhidmatan perubatan pakar kepada masyarakat setempat.

Berteraskan tujuan KPJ, Care for Life, hospital berkenaan kekal komited memberikan penjagaan kesihatan berkualiti serta mengutamakan keperluan pesakit sepanjang proses rawatan mereka.-BNN