GUANGZHOU: Delegasi Kerajaan Sabah dan komuniti perniagaan negeri itu tiba di sini bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian, perikanan, industri makanan serta perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang menembusi pasaran Greater Bay Area.
Delegasi lebih 100 anggota itu diketuai bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dan Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau.
Lawatan empat hari bermula 11 hingga 14 November ini dianjurkan bersama Kerajaan Sabah dan MCCC Sabah menerusi program Lawatan Pertukaran Kerajaan dan Perniagaan Malaysia-China ke Guangzhou, Kajian Industri serta Majlis Makan Malam Jaringan Perniagaan.
Dexter berkata, lawatan itu mendapat sokongan penuh Kerajaan Sabah dan mencerminkan komitmen negeri memperluas hubungan ekonomi antarabangsa menerusi kerjasama strategik sektor awam dan swasta.
Katanya, inisiatif itu turut membuka peluang memperkenalkan potensi Sabah dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan kepada kerajaan serta komuniti perniagaan China, sekali gus menarik pelaburan dan memperluas pasaran eksport.
“Antara fokus utama lawatan ini ialah keterjaminan makanan, penggunaan teknologi pertanian dan pemodenan industri makanan, selaras keperluan meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan serta memperkukuh rantaian bekalan makanan.
“Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, perikanan dan pengeluaran makanan yang boleh diperkasakan melalui penerapan teknologi moden, perkongsian kepakaran serta akses kepada rangkaian pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou, malam tadi.
Beliau berkata, delegasi dijadual mengadakan pertemuan dengan jabatan kerajaan, institusi industri dan syarikat berkaitan di China bagi meninjau perkembangan sektor pertanian dan perikanan moden serta meneroka peluang pemindahan teknologi, pelaburan dan perdagangan.
Katanya, Guangzhou yang juga antara hab perdagangan dan ekonomi utama dalam Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao (Greater Bay Area) menawarkan rangkaian industri luas, pasaran besar serta hubungan perdagangan antarabangsa yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau berharap lawatan berkenaan dapat membantu syarikat Sabah mendapatkan rakan strategik di China, meneroka peluang menembusi pasaran Greater Bay Area serta memperluas pemasaran produk tempatan.
Inisiatif itu turut diharap membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, sekali gus memperkukuh hubungan ekonomi Sabah-China serta meningkatkan daya saing industri tempatan.-pr/BNN





