KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Sabah memperbaharui Mahkamah Anak Negeri serta menginstitusikan peranan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung melalui kerangka perundangan lebih jelas disifatkan sebagai langkah penting dalam memelihara adat dan memperkukuh struktur kepimpinan tradisional masyarakat Anak Negeri.
Penasihat Kehormat Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Cyril P. Yansalang, berkata komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, melaksanakan pembaharuan itu wajar disambut baik bagi memastikan institusi berasaskan adat dan tradisi terus relevan, dihormati serta berfungsi dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pembaharuan Mahkamah Anak Negeri selepas lebih tiga dekad pelaksanaan Enakmen 1992 amat penting kerana institusi itu bukan sekadar berperanan menyelesaikan pertikaian, malah memelihara adat, keharmonian dan nilai kehidupan masyarakat.
Katanya, pandangan itu turut berdasarkan pengalamannya selama enam tahun sebagai Penasihat Mahkamah Juvenil di Tambunan, yang memberinya peluang mengikuti prosiding mahkamah berkenaan ketika bersidang di daerah itu.
“Pengalaman tersebut memberikan gambaran mengenai kepentingan akses kepada keadilan di peringkat daerah serta keperluan memastikan institusi kehakiman mempunyai kemudahan, struktur pentadbiran dan sokongan sewajarnya.
“Masyarakat di daerah dan kawasan luar bandar tidak seharusnya berhadapan kesukaran yang tidak perlu untuk mendapatkan perkhidmatan keadilan,” katanya dalam kenyataan.
Cyril turut menyifatkan penggubalan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 sebagai perkembangan penting dan bersejarah kerana memberikan asas perundangan lebih jelas terhadap kedudukan, fungsi serta tanggungjawab ketiga-tiga lapisan kepimpinan tradisional itu.
Beliau berkata, pemimpin berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat, memahami adat dan keadaan setempat, selain membantu menyelesaikan masalah serta mengekalkan keharmonian komuniti.
Sehubungan itu, katanya, pengiktirafan melalui undang-undang perlu disertai proses pelantikan yang telus berasaskan integriti, pengetahuan adat, pengalaman dan penerimaan masyarakat setempat.
“Individu yang diberikan amanah ini hendaklah benar-benar berupaya mewakili dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas komitmen menggerakkan agenda pembaharuan berkenaan, termasuk perhatian terhadap pembangunan dan penaiktarafan bangunan Mahkamah Anak Negeri serta kemudahan infrastruktur berkaitan.
Katanya, pembaharuan perundangan perlu disokong kemudahan fizikal, sumber mencukupi serta bidang tugas yang jelas supaya institusi mahkamah dan pemimpin tradisional dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan.
Cyril yang juga Penasihat Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) berharap pembaharuan itu tidak terhenti pada kelulusan undang-undang semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh demi manfaat masyarakat Anak Negeri.
“Memperkukuh Mahkamah Anak Negeri bermakna memperkukuh keadilan berasaskan adat, manakala menginstitusikan kepimpinan tradisional bermakna memelihara struktur masyarakat kita.
“Kedua-duanya penting untuk kesinambungan warisan dan identiti Anak Negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN





