KOTA KINABALU: UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau mesti dikekalkan sebagai kampus yang berfungsi sepenuhnya dan tidak sekadar mengekalkan bangunan fizikalnya untuk kegunaan institusi pendidikan lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata identiti institusi, fungsi akademik dan peluang pengajian tinggi yang disediakan UiTM Tawau perlu terus dipertahankan demi kepentingan anak-anak Sabah, khususnya di Pantai Timur negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, berhubung proses kajian semula atau rasionalisasi operasi UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Walaupun Menteri dilaporkan menjelaskan kampus berkenaan tidak akan ditutup, Nizam berkata cadangan rasionalisasi operasi dan penggunaan kemudahan kampus sebagai hab pendidikan membabitkan institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai masa depan sebenar UiTM Tawau.

Katanya, kewujudan kampus itu sejak mula beroperasi pada 1996 adalah hasil perjuangan dan usaha berterusan pemimpin tempatan terdahulu dengan sokongan Kerajaan Negeri, warga institusi serta masyarakat setempat.

Beliau berkata UiTM Tawau memainkan peranan penting menyediakan laluan pendidikan tinggi kepada anak-anak Bumiputera dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan lain di Pantai Timur Sabah.

Katanya, kewujudan kampus berkenaan membolehkan anak-anak tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung kos tambahan yang besar bagi perjalanan, penginapan dan sara hidup sekiranya terpaksa berpindah ke daerah atau negeri lain.

” Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, kewujudan kampus seperti UiTM Tawau membawa makna yang cukup besar,” katanya.

Mengulas jumlah 254 pelajar setakat 30 September 2026 yang dibangkitkan Menteri di Dewan Rakyat, Nizam berkata angka itu tidak seharusnya dijadikan ukuran tunggal untuk menentukan keperluan atau tahap penggunaan sesebuah kampus.

Sebaliknya, katanya, penilaian menyeluruh perlu mengambil kira kapasiti sebenar kemudahan akademik termasuk bilik kuliah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan kampus menampung pelajar secara berkesan.

Beliau berkata kapasiti kampus juga tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah ruang penginapan semata-mata kerana kemampuan menyediakan tempat tinggal tidak semestinya menggambarkan keupayaan menampung jumlah pelajar setara dalam kemudahan akademik.

Sehubungan itu, beliau berharap KPT memberikan penjelasan terperinci mengenai asas penilaian yang digunakan dalam cadangan rasionalisasi berkenaan supaya sebarang keputusan mengambil kira keadaan sebenar operasi kampus dan keperluan pendidikan masyarakat Pantai Timur Sabah.

Pada masa sama, Nizam percaya UiTM Tawau masih mempunyai potensi untuk dikembangkan melalui penawaran program pengajian lebih pelbagai dan bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan serta industri tempatan.

Katanya, sebarang perancangan mewujudkan institusi pendidikan baharu sepatutnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau.

Beliau turut menggesa KPT memberikan jaminan jelas bahawa cadangan rasionalisasi itu tidak akan menyebabkan UiTM Tawau kehilangan identiti, fungsi akademik dan kedudukannya sebagai kampus UiTM di Pantai Timur Sabah.

“Sebarang perancangan yang membabitkan masa depan kampus ini juga perlu mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni serta masyarakat setempat.

“UiTM Tawau merupakan sebahagian daripada sejarah pembangunan pendidikan tinggi di daerah ini. Usaha dan pengorbanan generasi terdahulu untuk mewujudkannya perlu dihargai dengan memastikan peluang pendidikan yang dibina terus dipelihara dan dikembangkan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan pendiriannya supaya UiTM Tawau dikekalkan, diperkukuh dan terus diberikan peranan bermakna dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah.-pr/BNN