KENINGAU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) terus memperkasa kompetensi digital ahlinya menerusi penganjuran Kursus Pemerkasaan Kecerdasan Buatan (AI) di Bilik Komputer, Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah, di sini.

Kursus itu disertai 30 peserta bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menggunakan teknologi AI, khususnya dalam memperkemas pengurusan serta pentadbiran organisasi.

Presiden PMPS, Dr Aslie Haji Sahat, berkata perkembangan teknologi AI membuka peluang kepada mantan pendidik untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Beliau berkata, pengalaman luas mantan pendidik dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan kepimpinan organisasi perlu terus dimanfaatkan, manakala penguasaan teknologi baharu mampu meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa serta memudahkan penyediaan dokumen, analisis maklumat dan komunikasi.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan AI perlu berlandaskan integriti dan tanggungjawab, termasuk memastikan ketepatan maklumat serta melindungi data peribadi.

“Setiap maklumat yang dihasilkan menerusi AI perlu disemak dan disahkan sebelum digunakan, manakala tanggungjawab terhadap sesuatu keputusan tetap terletak pada manusia,” katanya.

Dr. Aslie turut menekankan kepentingan mengintegrasikan teknologi AI dalam sistem pengurusan organisasi yang sistematik berasaskan piawaian ISO 9001:2015 dan pendekatan PDCA (Plan, Do, Check and Act) bagi memastikan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berharap kursus itu menjadi pemangkin kepada pembentukan PMPS sebagai organisasi mantan pendidik yang celik digital, berpengetahuan dan kekal relevan dengan perkembangan teknologi.

Katanya, semangat menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti selepas persaraan, sebaliknya pengalaman dan pengetahuan perlu terus diperkasakan untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Teknologi AI boleh membantu kita menghasilkan sesuatu dengan cepat, tetapi manusia tetap bertanggungjawab memastikan hasilnya benar, tepat, beretika dan berkualiti.”-pr/BNN