KOTA KINABALU: Cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, termasuk kesan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019, perlu disokong bagi merungkai punca sebenar kelewatan projek itu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.187 Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata cadangan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, itu penting bagi memastikan semua aspek pelaksanaan projek berkenaan diteliti secara menyeluruh.

Beliau berkata, siasatan PAC tidak seharusnya dijadikan ruang untuk membina persepsi seolah-olah Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersalah atau gagal melaksanakan projek berkenaan.

Sebaliknya, katanya, rakyat perlu menilai isu itu berdasarkan kronologi, rekod dan tanggungjawab setiap pihak, memandangkan Pan Borneo adalah projek di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan dari aspek perancangan hingga pelaksanaan.

Aksyah berkata, Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, bukan individu asing dalam sejarah awal projek berkenaan kerana pernah menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika perancangannya serta Naib Presiden UMNO ketika majlis pelancaran projek pada 24 April 2016 di Kampung Andus, Papar.

“Persoalannya, mengapa ketika berada dalam kerajaan Persekutuan beliau tidak membangkitkan bantahan terhadap sistem atau perancangan projek yang kini dipersoalkan?

“Kenapa isu ini hanya dibangkitkan sekarang, sedangkan beliau sendiri mempunyai kedudukan dalam kerajaan ketika projek berkenaan dirancang dan dilancarkan?” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pentadbiran Warisan ketika menerajui kerajaan negeri pada 2018 hingga 2020, khususnya keputusan menamatkan model PDP pada 2019.

Menurutnya, rekod rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Parlimen mengesahkan penamatan model berkenaan mencetuskan gangguan terhadap pelaksanaan projek di tapak.

Aksyah berkata, kesan keputusan itu wajar diteliti PAC kerana ia antara perkara penting dalam mengenal pasti punca kelewatan projek, selain menilai tanggungjawab pihak yang terbabit dalam proses berkenaan.

Mengulas perkembangan ketika pentadbiran GRS, beliau berkata kerajaan pimpinan Hajiji turut berdepan cabaran pandemik COVID-19 antara 2020 hingga 2022 sebelum memasuki fasa pemulihan pada 2023.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri kemudian mengambil langkah proaktif menerusi rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendesak supaya pelaksanaan projek dipercepatkan.

“Hasilnya, pada Oktober 2024, kesemua 19 pakej Projek Pan Borneo Fasa 1B berjaya diserahkan kepada kontraktor yang layak untuk dilaksanakan.

“Perkembangan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri memastikan projek berkenaan terus bergerak dan tidak terhenti,” katanya.

Dalam pada itu, Aksyah turut mencadangkan supaya skop penelitian PAC diperluaskan kepada keberkesanan dana pembangunan luar bandar berjumlah RM1.5 bilion ketika portfolio KKLW diterajui Shafie.

Katanya, penelitian itu penting bagi memastikan penggunaan wang rakyat dan hasil pelaksanaan projek pembangunan luar bandar turut diberikan perhatian, bukan hanya tertumpu kepada isu Pan Borneo.

Beliau berkata, rakyat juga perlu diberikan penjelasan berdasarkan fakta dan keseluruhan laporan audit, bukannya membuat kesimpulan awal sehingga menimbulkan tanggapan berlaku penyelewengan atau kegagalan pentadbiran.

Aksyah menegaskan, kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Pan Borneo ketika ini perlu dinilai secara adil dengan mengambil kira kronologi serta peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Katanya, siasatan PAC sepatutnya menjadi platform mencari kebenaran dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, bukannya dijadikan senjata politik untuk memburukkan imej mana-mana pihak.-pr/BNN