KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyokong tindakan tegas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam menangani dakwaan salah laku membabitkan seorang pegawainya yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, 17 November lalu.

Presidennya, Hj. Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai yang diamanahkan menjaga keselamatan dan kedaulatan pintu masuk negara itu perlu dipandang serius.

Beliau turut memuji keberanian seorang pegawai wanita AKPS yang tampil membuat laporan selepas mengesan tindakan pegawai atasannya yang dipercayai melanggar prosedur dan peraturan ditetapkan.

Katanya, tindakan pegawai wanita itu membuktikan integriti, kejujuran dan tanggungjawab kepada negara perlu mengatasi rasa takut terhadap kedudukan atau pangkat seseorang.

Yazid turut menyambut baik ketegasan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang menyatakan sokongan kepada pegawai wanita berkenaan serta kesediaan agensi itu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kemungkinan wujudnya rangkaian lebih besar.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh dan tindakan tegas perlu diteruskan tanpa mengira pangkat atau kedudukan individu yang disyaki terbabit.

Dalam masa sama, beliau berharap AKPS memastikan pegawai yang tampil mendedahkan salah laku diberikan perlindungan sewajarnya daripada sebarang ugutan, tekanan atau tindakan balas.

Beliau turut menggesa mekanisme pemantauan dalaman, penguatkuasaan tatakelola dan saluran aduan diperkasakan bagi membendung penyalahgunaan kuasa, rasuah serta kegiatan ‘counter setting’ dalam agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, rakyat mahu AKPS terus berfungsi sebagai benteng keselamatan negara yang bersih, profesional, telus dan berwibawa, tanpa membiarkan perbuatan segelintir individu menjejaskan reputasi seluruh organisasi.

Yazid berkata, kes berkenaan perlu dijadikan pengajaran dan titik perubahan dalam memperkukuh budaya integriti, bukan sahaja dalam AKPS, malah semua agensi penguatkuasaan negara.-pr/BNN