KOTA KINABALU: Sabah Electricity sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah yang terjejas akibat kejadian menara penghantaran elektrik tumbang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata kerja-kerja pembinaan semula menara berkenaan dijangka selesai dalam tempoh enam hari, sekali gus membolehkan bekalan elektrik kembali pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, penduduk di kawasan terjejas ketika ini sudah menerima bekalan elektrik melalui sumber simpanan dan penjana set sementara, meskipun masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.

“Menara itu dijangka siap dalam masa enam hari. Buat masa ini, mereka menggunakan sumber simpanan lain dan keadaan semakin bertambah baik.

“Mungkin masih ada beberapa kawasan yang mengalami kekurangan bekalan, tetapi pihak Sabah Electricity akan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin untuk rakyat kita di Pantai Timur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 di Dewan Canselor UMS di sini, hari ini.

Hajiji berkata kejadian menara penghantaran elektrik tumbang itu berpunca daripada bencana alam dan bukannya disebabkan perbuatan yang disengajakan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha jangka panjang untuk memperkukuh bekalan tenaga elektrik di Sabah menerusi pembangunan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Kita telah meluluskan hampir 3,000 megawatt kapasiti tenaga di Sabah, termasuk mini hidro, solar dan turbin angin. Dalam tempoh dua tahun dari sekarang, tambahan lebih 1,000 megawatt dijangka dapat disiapkan, manakala selebihnya akan disiapkan menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat dukacita dengan keadaan yang terpaksa dihadapi penduduk Pantai Timur susulan gangguan bekalan elektrik itu dan memberi jaminan segala usaha sedang dilakukan untuk memulihkannya.

Hajiji turut berharap rakyat di kawasan terjejas memahami keadaan semasa memandangkan bekalan elektrik sudah disalurkan melalui sumber alternatif, sementara kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan kejadian menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau.

Anwar turut meminta supaya bekalan elektrik sementara disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal, khususnya bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan.-pr/BNN