Pemuda mesti bangkit, beri kekuatan baru kepada UMNO

0
HAJIJI (kanan) bersalam dengan Dr Asyraf semasa kunjungan itu.

KOTA KINABALU:  Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mesti berkerja kuat bagi memastikan ahli-ahlinya mendapat semangat dan kekuatan baru dalam meneruskan perjuangan parti, kata  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Pemuda UMNO sebagai pejuang di barisan hadapan tidak harus berasa gentar atau patah semangat dengan tekanan dan cabaran yang dihadapi.

“Pemuda dan ahli-ahli UMNO mesti “tahan” menghadapi tekanan dan cabaran memandangkan UMNO kini adalah parti pembangkang.

“Pemuda UMNO mesti bekerja keras bagi membangkitkan kembali semangat juang baru ahli-ahli parti agar UMNO terus kuat dan mantap”, tegasnya.

Hajiji berkata demikian dalam majlis perjumpaan beliau dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian-Bahagian di bilik mesyuarat bangunan UMNO Sabah, hari ini.

Terdahulu, Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Dr Asyraf di pejabatnya. Asyraf  berana di Sabah kerana menghadiri Program Semarak Semangat Bangkit Kembali Pemuda UMNO di 5 bahagian UMNO.

Hajiji turut mengingatkan kepimpinan Pergerakan Pemuda agar terus menggiatkan gerak kerja mendekati rakyat di akar umbi.

“Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita kena rajin bertemu dan bersama mereka. Layan rakyat dengan mesra tanpa mengira bangsa, agama dan juga fahaman politik.

“Sekiranya kita berkhidmat dengan ikhlas dan jujur serta bukan untuk kepentingan peribadi, maka rakyat akan melihat dan menilai apa yang kita telah buat untuk mereka”, tegasnya.

Beliau juga memuji kepimpinan Pemuda UMNO kerana mempunyai semangat yang kental dalam meneruskan perjuangan parti.

Hajiji menegaskan, UMNO Sabah masih mantap dan memiliki ahli-ahli yang setia kepada parti.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO Negeri, Ir  Aziz Julkarnain, Penolong Setiausaha Pemuda Negeri,  Ir. Rohan Ahmat, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri, Mazlan Joehari Manan, Penolong Bendahari, Haji Fadli Juanas, exco-exco Pemuda dan ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian.-Oleh LSK/BNN