KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Marudu menyambut baik jaminan Kerajaan Negeri bahawa baja padi bersubsidi yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan diagihkan kepada petani dan pesawah dalam tempoh terdekat.
Pengerusinya, Datuk George Sangkin berkata, kenyataan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Dr. Daud Haji Yusof amat dialu-alukan oleh petani di negeri ini.
“Kita mengalu-alukan jaminan kerajaan yang prihatin terhadap isu kelewatan mengagihan baja padi bersubsidi di negeri ini.
“Adalah menjadi harapan petani dan pesawah di Sabah agar masalah kelewatan ini dapat diatasi demi faedah industri padi di negeri ini”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr.Daud semalam mengenai isu kelewatan pengagihan baja padi subsidi oleh pihak NAFAS kepada petani dan pesawah yang layak di negeri ini.
Dr. Daud berkata, bantuan itu akan diedarkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, memandangkan tender untuk membekal dan menghantar baja padi dibawah Skim Baja Subsidi Kerajaan telah dipanggil bulan lalu.
“Oleh itu, kita jangkakan pembahagian baja padi bersubsidi ini, khususnya untuk petani padi bukit akan dapat dilaksanakan pada musim penanaman akan datang.
“Pada masa ini Kerajaan sedang mencari pembekal dan penghantar baja tersebut kepada penerima yang telah dikenalpasti, sebelum ini”, katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu.
Dr. Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan menekankan, pengagihan baja padi bersubsidi itu akan dilakukan secepat mungkin untuk memastikan pengeluaran padi dioptimumkan.
Baru-baru ini beberapa orang petani dan pesawah dipetik oleh sebuah portal berita tempatan menyatakan masih belum menerima baja padi bersubsidi yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Dr. Daud berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai bekalan baja padi bersubsidi yang masih belum diterima oleh para petani di Sabah.
“Kita berharap masalah ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, selepas syarikat pembekal dan pengedar telah dilantik oleh Kerajaan”, tegasnya.
George berkata, beliau sendiri ada menerima aduan mengenai bantuan baja padi bersubsidi yang belum diterima oleh petani dan pesawah di Kota Marudu.
“Kita sedia maklum, bantuan baja padi bersubsidi itu merupakan usaha kerajaan membantu petani dan pesawah meningkatkan pengeluaran padi dan beras,” katanya.
Beliau menyeru para petani dan pesawah yang layak menerima bantuan itu agar bersabar kerana kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu mereka.-pr/BNN