LABUAN: Sekitar 80 pekerja Labuan Liberty Port Management (LLPM) yang mengendalikan operasi Pelabuhan Merdeka menyokong memorandum tiga perkara kepada Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) YB Chan Foong Hin.

Penolong Pengurus Operasi LLPM Dul Alias berkata memorandum itu mereka sampaikan untuk menunjukkan pendirian kalangan pekerja ketika mana isu penawaran tender dari LPA kepada syarikat baharu yang sedang hangat diperkatakan.

“Kami warga kerja LLPM yang menandatangani memorandum itu mengesahkan pendirian kami tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” kata Dul selepas menyampaikan memorandum itu kepada YB Chan pada Sabtu.

Menurut Dul kalangan pekerja menyatakan hasrat meneruskan pekerjaan mereka di pelabuhan tersebut tanpa mengira syarikat mana yang akan menerima tawaran tender operasi.

Dul seterusnya memperincikan tiga perkara yang mereka nyatakan dalam memorandum tersebut seperti berikut.

Pertama, kalangan pekerja mahu meneruskan pekerjaan dengan syarikat operasi baharu yang bakal memperoleh tawaran tender LPA untuk membawa perubahan kepada Pelabuhan Merdeka Labuan.

Kedua, penyertaan sebilangan pekerja dalam piket yang tersiar dalam media adalah sesuatu yang dikesali dan bertentangan dengan kehendak pekerja.

Ketiga, kalangan pekerja yang terlibat hanya menyedari ditipu apabila tiba di kawasan piket lalu diarah oleh pengurusan LLPM melakukan piket tanpa berbincang dengan warga kerja terlebih dahulu.

Sebelumnya, memorandum tersebut telah disampaikan kepada Ahli Lembaga Pengarah LPA Daniel Doughty.

Dul merupakan pekerja senior syarikat berkenaan yang telah bersama LLPM dalam operasi Pelabuhan Merdeka sejak 2006.-pr/BNN

Penolong Pengurus Operasi LLPM Dul Alias