KENYATAAN MEDIA
Saya ingin merujuk kenyataan media terbaru Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Ir. Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pada 21 Februari 2020, yang mendedahkan penemuan Audit Forensik Antarabangsa keatas NAFAS, amat mengejutkan dan pastinya mengecewakan warga peladang.
Kami berasa kecewa dengan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS terdahulu, yang melakukan pelbagai penyelewengan dan tadbir urus yang merosakkan pertubuhan peladang terbesar di Malaysia.
NAFAS dianggotai 921, 932 orang ahli dengan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan lebih 7000 unit peladang di seluruh negara.
Sebanyak 7 penyelewengan terbesar dilakukan oleh AJP lama sejak tahun 2002 hingga 2018, telah didedahkan oleh Datuk Pahrolrazi. Dengan nilai penyelewangan ini melibatkan kerugian melebihi RM 50 juta!
Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat peladang dan industri peladangan tidak berkembang pesat kerana berpunca daripada penyelewangan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh AJP lama NAFAS.
Amat malang bagi petani dan peladang dibawah yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman dan perniagaan, telah dipimpin oleh AJP NAFAS terdahulu yang tidak telus mentadbir NAFAS dengan melakukan pelbagai penyelewangan.
RM 50 juta bukanlah satu jumlah yang kecil. Pelbagai inisiatif, skim dan bantuan dapat diberikan kepada para petani dan peladang, tetapi telah diseleweng oleh AJP lama yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Pengerusi NAFAS, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di-Raja Malaysia telah dibuat keatas AJP lama yang terlibat dalam penyelewangan wang peladang. Namun sehingga kini belum ada tindakan diambil ke atas mereka. Mereka masih bebas, malah ada yang bakal bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) NAFAS pada tahun ini.
Justeru, kami mendesak pihak SPRM dan PDRM segera mengambil tindakan berdasarkan siasatan yang dijalankan. Perompak wang petani dan peladang ini tidak boleh dibiarkan bebas dan terus merompak duit para petani miskin.
Kepada semua perwakilan ke MAT NAFAS, kami menyeru agar semua perwakilan MAT menolak AJP lama yang bertanding pada kali ini.
Kita tidak boleh membenarkan mereka terus memimpin NAFAS kerana mereka akan terus merosakkan pertubuhan ini sekiranya diberi peluang lagi.
KHAIRUDDIN DAUD
Pengerusi
Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat
22 Februari 2020.