KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) telah menahan sebuah bot tunda nelayan tempatan yang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika daripada perairan Tanjung Dalit, baru baru ini,
Pada jam lebih kurang 1.00 petang, bot ronda KM Banggi yang diketuai oleh Bintara Kanan Maritim Abdul Ramzi bin Abdul Mahdi telah memeriksa sebuah bot pukat tunda No.Pendaftaran JN 1021/2/F yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan berhampiran dengan pantai Tanjung Dalit.
Pengarah Maritim Daerah Laksamana Pertama Adam bin Hj.Aziz berkata tekong bersama enam orang awak-awak warga indonesia berumur 20 tahun hingga 56 tahun berada diatas bot tersebut.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan tersebut melakukan kesalahan melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan 2 batu nautika daripada Tanjung Dalit.
“Bot nelayan tersebut sepatutnya melakukan aktiviti menangkap ikan 12 batu nautika dari pantai seperti dalam syarat lesen dan bot tunda itu ditahan dibawah Akta Perikanan 1985,” Adam berkata.
Bot tunda dan anggaran ikan pelbagai jenis sebanyak 2000 kg telah diringi masuk ke jeti APMM Sepanggar untuk siasatan dan tindakan selanjutnya, katanya lagi.
Maritim Malaysia memandang serius kegiatan bot tunda yang melakukan aktiviti menangkap ikan dikawasan persisiran pantai kerana boleh mengakibatkan mata pencarian nelayan tradisional terjejas dan merosakkan keindahan terumbu karang serta habitat ikan-ikan dan haiwan akuatik.-BNN