Bajet Sabah 2018 mesra rakyat-Yamani

0
49
Yamani Hafez Musa
Yamani Hafez Musa

KOTA KINABALU: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah mengalu-alukan Bajet Negeri Sabah 2018 yang dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri Sabah selaku Menteri Kewangan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Pengerusi Pemuda BN Sabah Yamani Hafez Musa berkata ia bersyukur kerana kejayaan Kerajaan Negeri Sabah meningkatkan hasil negeri sehingga mencecah RM4.16 bilion ternyata dikongsi dan dikembalikan kepada rakyat dengan pelbagai dasar dan program berorientasikan rakyat.

Pemuda BN Sabah juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana Kerajaan Negeri mengambil kira pandangan yang kami sampaikan hasil beberapa Siri Dialog TN50 yang diadakan di negeri ini, kata nya.

“Kita bersyukur aspirasi generasi muda yang disampaikan melalui Siri Dialog TN50 Sabah sudah menjadi sebahagian daripada agenda Kerajaan.”

“Antaranya perkara yang terkandung dalam Bajet Sabah 2018 adalah pengenalan Skim Jaya Perantis Anak Sabah (SYABAS) yang bertujuan untuk memberi peluang latihan bekerja dalam industri bukan sahaja kepada graduan di peringkat universiti, malah kepada lulusan diploma dan sijil.”

SYABAS yang akan dilaksanakan melalui Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) akan membantu menyelesaikan isu ketiadaan kriteria ‘pengalaman kerja’ yang sering dihadapi oleh generasi muda yang memohon pekerjaaan buat kali pertama. Ini antara isu berkaitan aspek pekerjaan yang banyak disuarakan oleh anak-anak muda dalam Dialog TN50, kata Yamani.

Selain itu, Pemuda menyokong keputusan meneruskan pemberian peruntukan untuk Program Youth Entrepreneurship Scheme (YES) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan bantuan pinjaman mikro kredit melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi membantu mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Pada masa yang sama, Pemuda BN Sabah amat gembira isu berkaitan keperluan pementoran (coaching) dalam pengembangan usahawan muda yang dikemukakan telah mendapat respon Kerajaan Negeri dengan pengenalan Skim Pementoran Kerjaya dan Keusahawanan (SKOR), beliau berkata.

“Langkah ini penting agar belia yang berminat kepada bidang perniagaan dibimbing melalui kaedah pementoran dan diberikan akses kepada pelbagai bantuan latihan, geran dan pinjaman sedia ada yang disediakan sama ada oleh Kerajaan Negeri atau Persekutuan.”

Begitu juga, Pemuda BN Sabah amat gembira Kerajaan Negeri memutuskan untuk menyediakan peruntukan tambahan RM5 juta sebagai bantuan khas kepada anak-anak Sabah dari keluarga kurang berkemampuan yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Ini merupakan peruntukan tambahan kepada RM40.5 juta peruntukan yang disalurkan melalui biasiswa dan dermasiswa, tambah beliau.

Sesungguhnya Bajet Sabah 2018 amat mesra rakyat merentasi semua segmen masyarakat termasuk generasi muda, katanya lagi.-pr/BNN