Bajet 2018 pakej belanjawan terbaik untuk rakyat- Mizma

0
447
Mizma (duduk, kiri) dan jawatankuasanya menghadiri pembentangan Bajet 2018 di Persidangan Dewan Undangan Negeri bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Pembantu Menteri Pembangunan Sumnber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hajah Hamisa Samat (duduk, kanan)
Mizma (duduk, kiri) dan jawatankuasanya menghadiri pembentangan Bajet 2018 di Persidangan Dewan Undangan Negeri bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Pembantu Menteri Pembangunan Sumnber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hajah Hamisa Samat (duduk, kanan)

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Appehdullah, menyifatkan Bajet Sabah 2018 sebagai pakej belanjawan terbaik yang meliputi semua segmen masyarakat, termasuk golongan wanita.

Sambil mengalu-alukan bajet tersebut, beliau berkata ia mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri di bawah teraju kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Haji Aman, terhadap kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Menurutnya, bajet itu dianggap sebagai pakej belanjawan terbaik kerana turut meletakkan kepentingan dan keperluan rakyat sebagai keutamaan tanpa membelakangkan soal pembangunan prasarana serta pertumbuhan ekonomi negeri.

“Ini bukti kerajaan Barisan Nasional kita menjiwai denyutan nadi rakyat yang mengharapkan pembelaan sewajarnya,” katanya hari ini, ketika mengulas  Bajet Sabah 2018 yang bertemakan `Memperkasakan Ekonomi, Mensejahterakan Rakyat.’

Mizma menyambut baik peruntukan RM5 juta untuk memperkasakan ekonomi serta meningkatkankesejahteraan sosial kaum wanita dan ibu tunggal.

Ia adalah antara program yang akan dilaksanakan di bawah Peruntukan Khas Bajet 2018 yang dinaikkan lebih 100 peratus, iaitu daripada RM53 juta pada tahun 2017 kepada RM115 juta pada tahun 2018.

Katanya, peruntukan khas itu diyakini  bakal mendatangkan manfaat secara langsung kepada pelbagai segmen masyarakat, termasuk RM6 juta yang diperuntukkan kepada warga emas.

Ia meliputi RM5 juta untuk memenuhi keperluan harian serta meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan hidup warga emas.

Dalam pada itu, Mizma juga mengalu-alukan pendekatan proaktif kerajaan negeri untuk menggerakkan ekonomi masyarakat luar bandar.

Beliau mengambil contoh RM2 juta yang diperuntukkan kepada masyarakat luar bandar yang berminat untuk membangun dan menaiktaraf produk eko-pelancongan dan alam sekitar di luar bandar (rural tourism).

Katanya, insentif sedemikian pasti menggalakkan lebih ramai masyarakat desa termasuk wanita berpeluang menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi yang menjana pendapatan keluarga.

“Begitu juga dengan peruntukan RM2 juta untuk menggalakkan penyertaan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar bagi membangun serta mengkomersialkan produk-produk pelancongan berasaskan  ukiran, kraftangan dan kebudayaan etnik.

“Seperti kita sedia maklum, negeri Sabah kaya dengan khazanah alam dan budaya menarik, justeru dengan insentif seperti ini, ia akan membantu menggerakkan ekonomi orang kampung, sekaligus mensejahterakan kehidupan rakyat sebagaimana tema bajet ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk terus berdiri teguh di belakang kepemimpinan kerajaan BN sedia ada dalam PRU-14 akan datang demi kesinambungan agenda pembangunan negeri ini.-pr/BNN