KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, hari ini menyokong kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang mendakwa AirAsia mengenakan tambang lebih mahal kepada pengguna ketika waktu puncak.
Katanya, dakwaan Bung memang berasas dan ada kebenarannya kerana AirAsia dikatakan sebagai syarikat penerbangan tambang murah ‘ atau
“low cost carrier “adalah kurang sesuai dengan cara penetapan harga semasa tambang bagi sektor Kota Kianabalu -Kuala Lumpur.
Beliau berkata, selain AirAsia, harga tiket Malindo Air juga agak mahal dan berubah-ubah , namun sekurang-kurangnya (at least) perkhidmatan syarikat penerbangan itu seperti menyamai “full service airline”.
“Saya menyokong kenyataan Bung Maktar kerana pengendali syarikat penerbangan berkenaan seperti cekik darah orang Sabah”, katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas kenyataan dan dakwaan Bung Moktar mengenai tambang mahal yang dikenakan oleh AirAsia.
Bung Moktar Radin baru-baru ini mempertahankan dakwaannya yang AirAsia mengenakan tambang lebih mahal kepada pengguna ketika waktu puncak, mengatakan beliau menerima aduan daripada rakyat di kawasan diwakilinya.
“Okay, saya dah kata, syarikat penerbangan tak boleh nafikan fakta ini, kerana penerbangan tambang murah perlu sediakan penerbangan murah. Tetapi setiap kali waktu puncak seperti sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya, AirAsia tak murah.
“Mereka naikkan tambang mereka lebih dua kali ganda dan di Parlimen, saya sudah jelaskan yang tambang waktu puncak untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan (boleh) mencecah RM2,000.
“Mengapa tidak, orang dikenakan bayaran RM1,780. Bukankah RM1,780 dah dekat RM2,000?” katanya.
Jelani mendakwa, harga yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tambang murah seperti pasaran saham (stock market).
Katanya sudah sampai masanya Sabah dan Sarawak bersama-sama mewujudkan syarikat penerbangan sendiri atau membuka seluas-luasnya laluan kepada syarikat penerbangan lain.
Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, menjelaskan dakwaan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, adalah tidak benar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar, dalam satu kenyataan berkata syarikat penerbangan tersebut sentiasa berusaha menawarkan tambang rendah dan ini termasuk bagi perkhidmatan penerbangan laluan Kuala Lumpur-Sandakan.
“Dakwaan penerbangan sehala berharga RM2,000 adalah sama sekali tidak benar kerana tambang purata adalah rm213.
Malahan semasa musim kemuncak, apabila AirAsia beroperasi dengan faktor muatan 100 peratus, tambang paling tinggi kami adalah kira-kira RM1,180, yang mana masih merupakan yang paling rendah dalam pasaran,” katanya.
Aireen berkata tidak ada sebarang ‘caj tersembunyi’ seperti yang didakwa oleh ahli Parlimen itu kerana penumpang AirAsia mempunyai pilihan untuk memilih bagaimana mereka mahukan penerbangan dan apa produk yang mereka mahu bayar. Semua bayaran dan caj dinyatakan dengan jelas di laman web dan aplikasi mudah alih.-pr/BNN