Sikap terbuka PM dalam isu MA63 bukti kesungguhan Kerajaan Pusat mendengar denyut nadi rakyat: Mohd Bahrin

0
Mohd.Bahrin.Abd.Karim

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim yang juga merupakan setiausaha pemuda umno Negeri Sabah menyambut baik jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk mengembalikan jika ada terlepas pandang dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata kesediaan yang ditunjukkan Perdana Menteri membuktikan kesungguhan pimpinan Kerajaan Persekutuan sentiasa mendengar suara rakyat di peringkat akar-umbi.

Katanya persoalan mengenai MA63 sebenarnya bukan isu, tetapi sengaja dipolemikkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Sehubungan itu, Mohd Bahrin berharap kenyataan terbuka Perdana Menteri itu menjawab segala kemusykilan atau polemik yang cuba dijaja pembangkang dengan memanipulasi isu MA63.

“Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri berhubung MA63, kerana ia mencerminkan sikap pimpinan kita yang sentiasa proaktif dalam perkara membabitkan kepentingan rakyat.

“Ini jelas memancarkan sikap kepedulian dan keprihatinan Datuk Seri Mohd Najib untuk menjamin hak, kepentingan rakyat dan negeri Sabah dalam perjanjian tersebut sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam ucapan penggulungan sempena PAU 2017 pada Sabtu, Najib antara lain menyatakan bahawa kerajaan sentiasa bersikap terbuka berhubung MA63 dan sedia mengembalikan apa yang mungkin terlepas pandang.

Mohd Bahrin berkata penegasan dan pendirian Presiden parti berhubung isu MA63 menunjukkan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan padu Pergerakan Pemuda Umno Kota Kinabalu terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno Batu Sapi, Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan, mengenai penampilan lebih ramai muka baru termasuk dari kalangan orang muda dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, kenyataan itu adalah pancaran hasrat dan pendirian Pemuda Umno Sabah secara umum yang ingin melihat penyediaan barisan pelapis dalam kepimpinan parti dan kerajaan.

“Ia adalah proses peralihan secara tersusun demi kesinambungan perjuangan Umno membela nasib rakyat terbanyak,” katanya.

Cadangan penampilan lebih ramai muka baru itu dibangkitkan oleh Khairul Firdaus  ketika perbahasan sayap Pemuda pada Rabu.

Menurutnya,  pandangan dan cadangan itu harus dilihat dalam perspektif lebih menyeluruh kerana ia sama-sekali tidak bermaksud menidakkan kepimpinan sekarang, sebaliknya sebagai persediaan melahirkan pimpinan Transformasi Nasional (TN50).-pr/BNN

Mohd.Bahrin.Abd.Karim