Yahya hadir program Memperkasa Wanita

0
-Pix LSK

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin (bersongkok, tengah) bersama pemimpin UMNO Bahagian Putatan menghadiri Program Memperkasa Wanita sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) Parlimen Putatan di Dewan Pasir Putih, Putatan hari ini.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas mengingatkan rakyat agar terus memberikan sokongan dan mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti telah membangun negara dan negeri.

“BN merupakan sebuah kerajaan yang terbukti mampu membawa kemajuan dan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat berbanding parti-parti pembangkang yang hanya menabur janji yang tidak dapat mereka tunai.

“Justeru, rakyat khususnya golongan wanita agar tidak mudah terpengaruh dengan parti-parti pembangkang yang kini sibuk masuk dan keluar kampung berkempen dengan menabur janji-janji manis”, tegasnya.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN demi kesejahteraan rakyat tidak dilakukan oleh kerajan di negara-negara jiran yang lain seperti pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Elaun Sara Hidup Nelayan, bantuan awal persekolah, bantuan untuk warga tua dan lain-lain.

“Kerajaan BN juga telah membawa banyak pembangunan di kawasan Putatan seperti kemudahan infrastruktur jalan raya dari 2 line ke 3 line, lebuhraya Pan Borneo Putatan-Inanam, rancangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, Balai Bomba Daerah, pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR), pembinaan padang bola, menaiktaraf Tamu Putatan dan lain-lain

“Semua ini dirancang dan dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk rakyat, bukan parti pembangkang. Justeru, rakyat perlu faham hakikat ini dan menolak parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 nanti”, tegasnya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri juga mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan janji parti pembangkang yang mempolitikkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak telah menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berniat dan berhak untuk mengambil apa-apa yang sememangnya menjadi hak negeri dan rakyat Sabah berdasarkan MA63.
Yahya berkata, PM telah menegaskan “Kalau kita terambil, kalau terambil dahulu, kita kena pulangkan balik. Ini perjuangan kita”.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Haji Arsit Sedi, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Putatan, Puan Juriah Palasin, Bendahari UMNO Bahagian, Datuk Haji Ibrahim OKK Laiman Diki, Ketua Penerangan UMNO Bahagian,Haji Othman Hamid dan Ketua Puteri Bahagian, Cik Dahliah Haji Mohd.Zain.-pr/BNN