APMM merampas arak seludup

0
637
Bot berkenaan
Bot berkenaan
LAHAD DATU:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Maritim Lahad Datu (PM8) telah merampas sejumlah 108 botol arak berjenama Tanduay Rhum dan Red Horse Beer dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini dari negara jiran pada jam lebih kurang 10.00 malam, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi), PM8 Leftenan Maritim Muhammad Zarif bin Mat Yunus berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan bergelap serta mencurigakan berhampiran perairan Felda Sahabat yang cuba menyusup masuk ke Kampung Pangkalan, Felda Sahabat.
 “Bot suspek meluncur laju ke arah pesisir pantai dan tekong bertindak terjun ke laut meninggalkan bot pancung tersebut sebaik sahaja menyedari kehadiran bot maritim. Hasil pemeriksaan ke atas bot pancung yang menggunakan enjin pam bot itu kemudiannya menemukan muatan 96 botol arak jenama Tanduay Rhum dan 12 botol arak berjenama Red Horse Beer. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 4,000” katanya.
Kesemua barang rampasan dibawa ke Pos Maritim Malaysia Felda Sahabat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat PM8 untuk siasatan lanjut. Kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas- tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.-pr/BNN