Dakwaan biasiswa Pelajar dikurangkan satu penipuan

0

KOTA KINABALU: Dakwaan pihak pembangkang dalam siri kempen pilihan raya mereka bahawa Kerajaan Negeri Sabah telah mengurangkan peruntukan untuk bantuan biasiswa pelajar adalah satu penipuan.

Armizan Mohd Ali Ketua Sekretariat berkata Kerajaan Negeri Sabah adalah antara negeri di Malaysia yang menyediakan peruntukan biasiswa dan dermasiswa yang tertinggi.

Komitmen dalam aspek penyediaan peruntukan terhadap pembangunan pendidikan anak-anak Sabah ini sentiasa meningkat saban tahun, dia berkata.

“Sebagai contoh, bagi tahun semasa 2018 sahaja, Kerajaan Negeri Sabah dan agensinya telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 71.7 juta untuk sumbangan biasiswa dan dermasiswa,” katanya lagi.

“Jumlah ini tidak termasuk dana pendidikan dalam bentuk pinjaman, program pembangunan pelajar dan infrastruktur.”

“Kita berharap warga Sabah khususnya generasi muda tidak terpengaruh dengan dakwaan pembangkang yang jelasnya adalah propaganda politik dan tidak bersandarkan kepada fakta.”

Kerajaan BN sentiasa memahami dan mendengar aspirasi generasi muda, Armizan berkata.

Antara resolusi Kolokium Manifesto Orang Muda anjuran Pemuda BN Sabah pada 17 Januari 2018 adalah menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri meningkatkan dana pembangunan pendidikan dan latihan orang muda, katanya lagi.

“Kita bersyukur kerana di peringkat negeri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, telah mengumumkan komitmen untuk menambah peruntukan biasiswa dan dermasiswa yang menjadi salah satu teras iaitu Agenda Melonjakkan Pembangunan Modal Insan dalam Manifesto 20 Komitmen BN Sabah Pilihan Raya Umum Ke-14.”

“Kita yakin berdasarkan ‘track record’ dan kedudukan kukuh kewangan dan pendapatan negeri, komitmen ini akan dilaksanakan sebaik sahaja BN mendapat mandat baharu daripada masyarakat Sabah,” katanya. -pr/BNN