Pedalaman Sabah berpotensi jadi kawasan produktif: Nazri

0
40
Nazri (barisan hadapan, tujuh dari kiri) bersama pemimpin peladang kawasan Tenom di majlis itu.-Pix LSK
Nazri (duduk, tengah) bersama pemimpin masyarakat setempat pada Program Muafakat Peladang di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom.-Pix LSK

TENOM: Kawasan pedalaman di Sabah diyakini berpotensi menjadi kawasan produktif dari segi sosioekonomi sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata ini kerana BN mempunyai perancangan strategik membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini menerusi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, ia jelas terkandung dalam Manifesto BN Sabah mengandungi 20 komitmen untuk rakyat yang dilancarkan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman pada 25 April lepas.

“Dalam manfesto itu, kerajaan BN menyatakan komitmen mempelbagaikan aktiviti ekonomi negeri, selain memperkukuh sumber sedia ada seperti pertanian, pelancongan serta minyak dan gas.

“Ini dilakukan menerusi pelaksanaan program sosioekonomi di luar bandar dan pedalaman, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang tentunya memberi manfaat kepada golongan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Muafakat Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tenom di sini pada Khamis. Hadir sama calo BN bagi kerusi DUN Kemabong, Jamawi Jaafar, yang juga Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS.

Sehubungan itu, Mohd Nazri menggesa rakyat di pedalaman Sabah termasuk ahli peladang dan penternak supaya terus memberikan sokongan padu kepada calon-calon BN, Datuk Radin Malleh di DUN Melalap dan Datuk Rubin Balang di Parlimen Tenom, demi kelangsungan usaha menjadikan pedalaman produktif sosioekonomi.

Nazri (barisan hadapan, tujuh dari kiri) bersama pemimpin peladang kawasan Tenom di majlis itu.-Pix LSK

“Kita harus memberikan sokongan konsisten dan padu kepada BN supaya akujanji dan komitmen dalam manifesto itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyifatkan manifesto itu sebagai aku janji menyeluruh serta menepati kehendak segenap rakyat negeri ini, termasuk berkaitan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diberi penekanan dalam manifesto berkenaan.

Manifesto bertema ‘Tanah Airku Maju’ itu mengandungi 20 komitmen BN Sabah, antara lain memelihara hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Mohd Nazri yakin penampilan Jamawi dalam PRU14 ini akan membantu memberikan suntikan kepada pimpinan BN Sabah dalam mengetengahkan suara denyut nadi rakyat di peringkat akar-umbi.

Beliau yakin Jamawi mempunyai kepimpinan pragmatik yang boleh menjad aset kepada kerajaan membangunkan kawasan pedalaman.-Pr/BNN