BN diyakini menang empat kerusi DUN di Parlimen Beaufort, Sipitang

0
144
Nazri bersama calon BN bagi kerusi Lumadan, Matbali Musah dan pemimpin serta anggota peladang yang hadir
Nazri (tengah) memperkenalkan calon BN DUN Lumadan, Matbali di majlis itu

BEAUFORT: Mengambil kira sokongan akar-umbi peladang, penternak dan nelayan, Barisan Nasional (BN) diyakini mencapai kemenangan besar kerusi Parlimen Beaufort dan Sipitang serta empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua kawasan itu.

Empat DUN berkenaan ialah Klias dan Kuala Penyu di Parlimen Beaufort serta Lumadan dan Sindumin di Parlimen Sipitang.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata keyakinan itu berdasarkan maklum balas ahli-ahlinya di peringkat akar-umbi sepanjang enam hari kempen berlangsung.

“Hasil maklumat dikumpul ahli kita di peringkat akar-umbi didapati tidak ada isu besar yang menjejaskan peluang BN, justeru itu kita yakin BN tidak mempunyai masalah memenangi kesemua empat kerusi DUN dan dua Parlimen di Beaufort dan Sipitang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Muafakat Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beaufort di sini malam Khamis.

Kerusi Parlimen Beaufort dipertahankan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Azizah Mohd Dun, manakala Parlimen Sipitang ditandingi Ketua Pemuda Umno Sabah Yamani Hafez Musa.

Nazri bersama calon BN bagi kerusi Lumadan, Matbali Musah dan pemimpin serta anggota peladang yang hadir

Sementara empat calon BN bagi kerusi DUN ialah Datuk Isnin Aliasneh (Klias), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Sapawi Ahmad (Sindumin) dan Matbali Musah (Lumadan).

Mohd Nazri yang juga Timbalan Pengerusi Nafas berkata keyakinan memenangi kesemua kerusi berkenaan juga berdasarkan prestasi kemajuan dan pembangunan yang dibawa BN di situ selama ini.

Katanya, rekod pembangunan yang dibawa BN jelas memanfaatkan rakyat, termasuk di kawasan DUN Klias yang dulu diwakili pembangkang.

“Sementara kawasan-kawasan lain dianggap selamat disebabkan wakil rakyat masing-masing berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka selama ini,” katanya, sambil merujuk pembangunan prasarana yang
ketara di daerah Beaufort dan Sipitang.

Beliau turut mengulangi komitmen peladang, penternak dan nelayan memberi sokongan padu kepada BN yang terbukti begitu prihatin dengan menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk skim bantuan dan subsidi.

Katanya, kerajaan BN turut mengiktiraf peranan peladang, penternak dan nelayan dalam membangunkan sosioekonomi negara.-pr/BNN