Kalah tapi tetap jamu rendang

0
106
Diva AA-YouTube
Diva AA-YouTube

CALON Bebas, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang bertanding kerusi DUN Bukit Antarabangsa hanya mampu memperoleh 90 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pertembungan lima penjuru bagi DUN berkenaan menyaksikan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi itu berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti 25,512 undi.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Ampang, Abd Hamid Hussain selepas selesai proses penjumlahan undi bagi semua 19 pusat mengundi dalam DUN berkenaan.

Azmin memperoleh 30,892 undi, Salwa Yunus (BN-5380), Sharifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS -2311) dan Ahmad Kamarudin (PRM -116).

Bagaimanapun, Azwan tidak kelihatan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Dato’ Ahmad Razali, malam tadi.

Azwan ketika dihubungi berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik dan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh rakyat.

“Siapa pun yang memimpin negara, ‘biaq pi’… yang penting kita semua sudah melalui peristiwa warna-warni sepanjang PRU-14.

“Dan paling penting, Diva AA tetap akan menunaikan janji untuk membelanjakan rendang kepada pengundi kawasan itu,” katanya.

Selebriti kontroversi itu berkata, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa mengira undi.

“Jadi tak perlulah pertikaikan ketelusan mereka menjalankan tugas, cara pengiraan atau terdapat penipuan. Ingat pada Allah selalu, insya-Allah kita akan berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.-sumber myMetro