Sambutan Pesta Magahau 1 Julai

0
988
Para peserta MGM (barisan belakang) bergambar bersama jawatankuasa penganjur Pesta Magahau Zon Matunggong 2018

KOTA KINABALU: Pesta Magahau 2018 yang disambut oleh komuniti Rungus di Sabah dan Semenanjung Malaysia akan dilancarkan pada 1 Julai 2018 di Rumah Panjang Puruvan Square Matunggong, Kudat.

Pelancaran Pesta itu serentak dengan sambutan Pesta Magahau Zon Matunggong akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah P. 168 Kota Marudu merangkap Ketua Penyelaras Parti Warisan Sabah Dun N. 4 Matunggong, Encik Barlus Mangabis bermula jam 9.00 pagi.

Pengerusi Penganjur Pesta Magahau 2018 Encik Jose Modsinupu berkata, pendekatan kali ini ialah merakyatkan Pesta Magahau dengan melaksanakannya di kampung-kampung dan tidak tertumpu di kawasan pekan atau bandar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) berkata, antara acara yang menjadi tarikan utama ialah Mitarab Gimpuhut Momogun (MGM), Monurizak (nyanyian), Hontira (sukan rakyat), pertandingan menambahbaik  alat-alat muzik Rungus, pertandingan lagu-lagu tradisi Rungus (Mongondi) , Pertandingan bercerita (Managon) dan banyak lagi.

Sementara itu Pengerusi MGM Peringkat Negeri, Puan Ruhini Andong berkata, seramai 21 peserta MGM mewakili 7 Zon seluruh Sabah dan Semenanjung Malaysia akan bertanding di peringkat negeri yang akan diadakan pada 31 Julai 2018 ini.

“Setiap zon akan diwakili oleh 3 orang pemenang untuk bertanding di peringkat negeri yang merupakan kemuncak sambutan Pesta Magahau 2018”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh tentang acara- acara Pesta Magahau Zon Matunggong pada 1 Julai 2018, Pengerusi MGM Zon itu, Puan Salunih Maruson berkata, tarikan utama sambutan pesta itu ialah acara MGM.

Katanya, selepas sesi saringan awal, seramai 10 peserta MGM bagi zon Matunggong akan berentap pada 1 Julai 2018.

Orang ramai khususnya masyarakat Rungus dipelawa datang beramai-ramai bagi memeriahkan Pesta Magahau Zon Matunggong.-pr/BNN