Alumni penting mencetuskan kecermelangan sekolah

0
33

KOTA BELUD: Alumni atau bekas pelajar sesebuah sekolah berperanan penting dalam mencetuskan kecemerlangan sekolah melalui jalinan kerjasama dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick menyarankan agar semua sekolah dapat menubuhkan persatuan alumni bagi memberi peluang kepada bekas pelajar kembali berkhidmat kepada komuniti mereka di kampung seterusnya menyumbang semula dalam program-program kecemerlangan pendidikan.

“Berdasarkan pengalaman kami di SK Kiau di mana saya sendiri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau, banyak yang telah kami lakukan bersama untuk membantu pihak sekolah, bukan hanya program-program kecemerlangan tetapi juga pembangunan infra di bekas sekolah kami.

“Justeru, saya mengalu-alukan penubuhan Persatuan Alumni SK Taginambur yang diketuai oleh bekas guru dan juga kini pemimpin komuniti, Simbih Gilingan.

“Malah jalinan kerjasama melalui perjanjian kerjasama (MoU) di antara Persatuan Alumni dan pihak sekolah yang ditandatangani hari ini juga pastinya akan menjadi satu lembaran baru sokongan bekas pelajar SK Taginambur kepada program-program kecemerlangan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Kaamatan Raya di SK Taginambur, di sini, pada Khamis.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, bekas pelajar sesebuah sekolah berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri untuk membantu dari segi sumbangan dalam menjayakan aktiviti dan pembangunan sekolah masing-masing.

“Kita boleh bekerjasama dan menggunakan sumber kekuatan Alumni untuk membangunkan sekolah, bukan sahaja dari segi sumber kewangan tetapi cadangan serta idea-idea bernas daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang kepakaran dan pendidikan,” katanya.

Mengenai pembangunan pendidikan khususnya di kawasan Kadamaian, beliau berkata, ia adalah antara perkara penting yang akan diberi tumpuan selain pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi penduduk luar bandar.

“Saya akan menjemput semua Guru Besar dan Pengerusi PIBG sekolah di seluruh Kadamaian pada bulan Ogos ini untuk berbincang bagaimana kita dapat menggunakan sumber-sumber yang dibolehkan melalui saya untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan sekolah dan juga melihat dari segi aspek pembangunan infra.

“Saya mahu perbincangan kolektif ini supaya kita dapat mengurus semua hal berkaitan pendidikan di sekolah rendah secara berkelompok bagi memudahkan saya berbincang dengan menteri-menteri berkaitan,” katanya.

Ewon (kiri) menyaksikan acara menandatangani persefahaman antara SK Taginambur yang diwakili Betty (duduk kiri) dan Simbih.

Dalam majlis itu, Ewon turut menyaksikan pemeteraian kerjasama antara pihak sekolah yang diketuai oleh Guru Besar, Betty Linggin dengan Pengerusi Persatuan Alumni sekolah itu, Simbih Gilingan.

Pada hari yang sama, Ewon turut merasmikan Sambutan Hari Guru, Kaamatan dan Raya SK Tamu Darat.

Dalam kedua-dua majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 daripada peruntukan touchpoint kepada kedua-dua sekolah tersebut untuk membantu membiayai sebahagian kos penganjuran program kecemerlangan sekolah.-pr/BNN