Ewon sumbang touchpoints kepada mangsa angin kencang

0
49
Ewon melawat rumah yang terjejas di Kg.Tambulion.
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick melawat dan menyampaikan sumbangan touchpoints kepada mangsa angin kencang di Kampung Tambulion, di sini kelmarin.
Beliau berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan beliau meringankan keresahan lima keluarga yang terjejas sementera mereka menunggu bantuan lain dari jabatan berkaitan.
“Saya bersimpati dengan keluarga-keluarga ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya mengangkat dan mencari jalan penyelesaian membaikpulih rumah-rumah yang saya lawati ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat lima buah rumah di Kg Tambulion dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kadamaian yang terjejas akibat angin kencang pada pagi Jumaat.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, beliau akan membangkitkan keperluan baikpulih dan bina baru rumah PPRT bagi Sabah termasuk keperluan khas di Kadamaian semasa kunjungan Bahagian Kesejahteraan Rakyat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan yang akan berkunjung ke KPLB Sabah pada minggu depan.
Beliau juga akan memastikan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am mengadakan lawatan susulan ke rumah-rumah yang terjejas tersebut.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Peter Jiton, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, urusetia Pusat Khidmat ADUN Kadamaian dan pemimpin-pemimpin komuniti Kg Tambulion.-pr/BNN