Wanita UMNO Sabah gesa rakyat tentang kempen halalkan LGBT

0
537
Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid.
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah hari ini menggesa rakyat khususnya masyarakat Islam agar bangkit menentang usaha dan kempen untuk menghalalkan gaya hidup songsang oleh komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.
Ketuanya, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata,.tindakan aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir yang menuntut hak kesamarataan dari sudut hak asasi golongan LGBT di negara ini merupakan tuntutan yang bertentangan dengan agama Islam.
“Ia merupakan tuntutan yang tidak wajar dilayan oleh pelbagai pihak khususnya pihak Kerajaan Pakat Harapan (PH) yang dipimpin oleh bapak Marina, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri Malaysia.
“Wanita UMNO Sabah menyokong saranan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang mahu agar tindakan pantas dan tegas diambil oleh Kerajaan terhadap gerakan golongan LGBT”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Marina Mahathir berkenaan hak kesamarataan dari sudut hak asasi yang kononnya dinafikan terhadap golongan LGBT di negara ini dan menyatakan apa yang mereka minta bukanlah hak tambahan.
Jainab berkata, tidak berbangkit soal hak-hak mereka dinafikan kerana golongan LGBT menjalani kehidupan seharian dan menggunakan semua perkhidmatan serta kemudahan awam seperti rakyat Malaysia yang lain.
“Apa diskriminasi yang telah dilakukan oleh kerajaan dan masyarakat negara ini terhadap golongan LGBT?  Walaupun golongan ini dianggap tidak normal oleh masyarakat”, soalnya.
Menurut beliau, sebagai seorang Islam, Marina tidak jahil tentang agama Islam dan sedar LGBT melawan hukum Tuhan dengan fitrah manusia.
Katanya, walaupun yang mereka tuntut itu bukan dalam perlembagaan, hanya atas nama hak kemanusiaan, Ia tetap juga melanggar Hukum Syarak.
Jainab menegaskan, menyokong puak songsang ini, seseorang muslim itu tetap salah di sisi Islam. Mengiktiraf LGBT sama juga menghina Islam.
Katanya, malahan agama-agama lain seperti Kristian dan Buddah juga tidak merestui budaya songsang ini.
Beliau berkata, Wanita UMNO Sabah berpendapat, daripada perjuangkan hak golongan LGBT, adalah lebih baik  Marina membantu pemulihan golongan ini terutama orang Melayu, lagi dapat pahala.
“Gaya hidup tidak bermoral oleh golongan LGBT akan menyumbang kepada masalah gejala sosial yang lebih serius termasuk penularan kes HIV dan AIDS. Dalam konteks Sabah, negeri ini bergelut dengan masalah sumbang  mahram dan menduduki tangga tertinggi kejadian kes tersebut”, tambahnya.
Menurutnya, Wanita UMNO Sabah berpendapat, Dr.Mahathir sebagai pemimpin yang berpegang pada agama Islam, beliau wajar menegur anaknya yang berjuang untuk menghalalkan golongan LGBT yang bertentangan dengan agama Islam.
Jainab menegaskan, UMNO Sabah komited memperjuangkan nasib dan masa depan golongan Bumiputera di Sabah dan akan menentang sebarang gerakan yang boleh mengakibatkan kemusnahan sistem sosial dan budaya negeri ini.-Oleh L.S Kuang/BNN