KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Gabungan Parti Warisan Sabah dan UPKO sekarang ditubuhkan hasil gabungan dengan parti-parti “Malaya”.
Katanya, rakyat Sabah tahu bahawa kerajaan negeri sekarang ini bukanlah kerajaan gabungan Warisan dan UPKO semata-mata, tetapi kerajaan yang ditubuhkan hasil gabungan bersama Parti Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan UPKO.
Beliau berkata, umum mengetahui bahawa Warisan tidak mempunyai cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri sendiri, tanpa bergabung dengan PKR dan DAP, dan kemudiannya UPKO.
“Parti Warisan tidak memenangi PRU-14. Ia terpaksa bergabungan dengan PKR dan DAP untuk seri dengan BN. Dan hanya dapat menubuhkan kerajaan negeri apabila bergabung dengan UPKO.
“Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau silap apabila mengatakan tiada “Malaya” dalam kerajaan negeri gabungan sekarang kerana PKR dan DAP sememangnya parti Malaya.
“Justeru, sebenarnya kerajaan negeri Sabah sekarang ini tidaklah bebas daripada parti-parti Malaya, kerana adanya pemimpin-pemimpin PKR dan DAP memegang jawatan sebagai menteri dan pembantu menteri,” katanya.
Hajiji mengulas kenyataan Wilfred Tangau di media massa yang menyatakan beliau dan UPKO lari daripada UMNO kerana tidak mahu berada di bawah cengkaman UMNO.
UPKO, kata Tangau, kini berada dalam zon lebih selesa kerana tidak lagi dibuli disamping mahu menggunakan budaya Sabah dari segi politik dan tadbir urus seperti Sarawak serta tidak perlu budaya Malaya ada di sini.
Hajiji mempersoalan, sekiranya UPKO dan Tangau menolak budaya Malaya darisegi politik, kenapa bergabung dengan Kerajaan Warisan-Pakatan Harapan.
“Adakah PKR dan DAP bukan parti Malaya yang juga mengamalkan budaya politik Malaya? Ini jelas UPKO sudah “double standards.”
“Wilfred Tangau harus sedar bahawa rakyat Sabah bukannya bodoh. Kita faham kenapa beliau berbuat demikian,” kata Hajiji.-Oleh L.S Kuang/BNN