UMNO Beluran tetap utuh

0
307
Samad Jamri.

BELURAN: UMNO Bahagian Beluran tetap utuh dan kuat walaupun terdapat ahlinya meninggalkan parti itu kerana kepentingan peribadi, kata Ketua Bahagian itu, Samad Jamri.

Katanya, tindakan segelintir ahli UMNO termasuk pemimpin masyarakat terdiri daripada ahli-ahli Majlis Anak Negeri (MAN) kawasan Beluran meninggal parti itu tidak menjejaskan kekuatan dan keutuhan UMNO bahagian itu.

Beliau berkata, UMNO Beluran menghormati keputusan mereka kerana telah memilih  haluan politik sendiri.

“UMNO Beluran mempunyai ramai pemimpin dan juga pelapis, dan jawatan yang kosong itu akan diisi oleh pemimpin sedia ada di peringkat cawangan.

“Keputusan mereka meninggalkan UMNO lebih kepada kepentingan peribadi dan juga memburu habuan jawatan”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan  segelintir ahli UMNO termasuk ahli MAN Beluran yang mengisytiharkan keluar UMNO untuk menyertai UPKO serta menyokong Kerajaan Negeri baharu.

Samad yang juga mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beluran berkata, tindakan ketua masyarakat dan ahli MAN kawasan Beluran itu juga jelas mereka tidak kenang jasa dan kebaikan UMNO.

Katanya, semasa UMNO masih tunjang Kerajaan Barisan Naional (BN), mereka telah diberi kepercayaan dan dilantik sebagai pemimpin masyarakat (ahli MAN) daripada beribu-ribu ahli UMNO yang ada di bahagian itu.

Menurutnya, sebagai Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Wakil Ketua Anak Negeri mereka diberi elaun/gaji bulanan oleh Kerajaan BN dahulu.

“Kerana mengharapan agar Kerajaan Negeri yang baharu akan mengekalkan jawatan yang disandang, maka mereka meninggalkan UMNO.

“Ini jelas mereka bukan pemimpin yang berprinsip dan tidak mengenang budi dan jasa UMNO yang telah membantu dan mengangkat mereka”, tegasnya.

Samad menegaskan, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu mengingat jasa UMNO selama ini yang telah banyak menyumbang, membangun dan membela rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli UMNO bahagian itu agar terus kekal bersama parti walaupun kini UMNO adalah parti pembangkang.

Katanya, UMNO akan terus berjuang membela dan berkhidmat kepada rakyat.-Oleh L.S Kuang/BNN