UMNO Sabah akan ‘lumpuh’ tanpa autonomi

0
Redonah menyampaikan ucapan pada Persidangan Wanita UMNO Malaysia di PWTC, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO Sabah mengingatkan kepimpinan Umno Pusat bahawa UMNO Sabah akan “lumpuh” tanpa autonomi mutlak.
Ketua Penerangannya Datuk Redonah Bahanda berkata UMNO Sabah perlu “berdiri sendiri” tanpa melepaskan ikatan politik dengan UMNO Pusat.
Perlembagaan mungkin perlu diubah, katanya, sambil menambah tapi itu soal kecil berbanding agenda politik nasional yang lebih besar demi kepentingan negara bangsa di masa akan datang.
“Wanita UMNO Sabah menyambut baik keputusan bijak kepimpinan pusat. UMNO akan kekal di Sabah. UMNO Sabah akan diberikan kuasa autonomi untuk menentukan dasar-dasar perjuangan parti di negeri di bawah bayu tanpa terikat dengan keputusan di peringkat pusat.
“Kita mendoakan akan ada pengumuman penting buat Sabah pada Perhimpunan Agung  Induk esok,” katanya semasa membahas usul politik pada  Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.
Redonah, yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kota Marudu, berkata politik Sabah sangat “unik” seperti keunikan kerajaan yang berkuasa sementara ini di Sabah, iaitu Kerajaan Warisan-Pakatan Harapan-UPKO, tetapi UPKO tidak ada wakil di peringkat persekutuan.
“Wanita Sabah juga mengingatkan sebarang kerjasama politik dengan parti-parti politik manapun, ianya mestilah mengambilkira kepentingan UMNO Sabah. Jangan dipinggirkan Sabah dalam segala pelan pembangunan masa depan UMNO,” katanya.
“Perlu diingat bahawa UMNO sekarang adalah parti pembangkang. Dalam sejarah politik Sabah, setiap parti yang sudah kalah tidak akan dapat bangkit dan memerintah kembali. Itu sejarah. Wanita UMNO Sabah mahu mengubah sejarah itu. UMNO Sabah harus bangkit kembali dan memerintah. Itu sasaran jangka pendek kami.”
Kaum wanita UMNO Sabah tetap akan terus bersama UMNO selagi UMNO dirangka dalam struktur dan pelan pembangunan yang mampu mewujudkan kesejahteraan dan kestabilan politik dan ekonomi negara, kata Redonah.
“UMNO merupakna parti terbaik negara, dalam semua aspek. Juga dari segi jumlah ahli dan sistem organisasinya. Namun, berdasarkan keputusan PRU 14 yang lalu, ternyata bilangan ahli yang ramai dan jumlah cawangan yang banyak, serta sokongan modal dan program untuk rakyat, tidak mampu memenangkan BN/UMNO. Perkara ini perlu dikaji secara teliti dan saksama,” katanya.
Wanita UMNO Sabah juga mendesak agar Kerajaan Warisan memberikan pertimbangan wajar dan meletakkan pendidikan sebagai agenda utama bagi pembangunan insan.
Redonah berkata meskipun keperluan wanita dibolehkan berkahwin seawall usia 14 tahun, namun dengan mengambilkira soal sosio-budaya masyarakat di pendalaman Sabah.
“Bagaimanapun melaksanakannya akan menidakkan hak golongan ini untuk mendapatkan pendidikan dan kesempurnaan hidup. Penindasan terhadap wanita muda untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan.
“Kemiskinan berterusan akan berlaku kerana kekangan terhadap pendidikan untuk memajukan diri dan membina kerjaya. Kita faham, agama itu wajib diutamakan. Tetapi Islam tidak pernah menyusahkan umatnya. Apakah pemikiran kita hari ini sudah mulai tidak seiring dengan peredaran zaman? Dunia semakin maju, takkan kita mahu biarkan anak-anak kita terbiar kerana perkahwinan bawah umur,” tegasnya.
Katanya, wanita UMNO Sabah meminta Kerajaan Warisan bertindak rasional, dengan menunaikan janji-janji manisnya yang belum terlaksana.
Selain itu, Redonah turut menyentuh tentang blok pembangkang Gabungan Bersatu Sabah (GBS) di mana Wanita UMNO Sabah mengharapkan penubuhan GBS merupakan satu langkah pragmatic dan strategik.
“Kerajaan Warisan telah mengadaikan keselamatan dan kedaulatan rakyat negeri Sabah dengan dasar yang membenarkan aktiviti menggunakan “bot pam” yang antara faktor berlaku  penculikan” ,kata Redonah.
“Mereka lupa kejadian berdarah Tanduo, Lahad Datu. Mereka lupa saudara-saudara pasukan keselamatan kita mati dibunuh, ditembak dan diperlakukan dengan begitu kejam oleh para pemberontak dan penganas.
“Mereka lupa anak isteri yang ditinggalkan…sejarah Tanduo telah membuktikan penglibatan warga asing sebagai pemberi maklumat kepada penganas Sulu. Namun, hari ini, Kerajaan Parti Warisan ini dengan mudah ingin memberikan dokumen pengenalan diri kepada para pendatang asing, tanpa menghantar mereka pulang ke negara asal.-Oleh LSK/BNN