UMNO Sabah masih utuh dan bersatu-Hajiji

0
482
Datuk Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: UMNO Sabah masih lagi utuh dan bersatu, kata pengerusinya Datuk Hajiji Haji Noor.

Merujuk kepada kenyataan yang diterbitkan di halaman depan akhbar tempatan, beliau menegaskan bahawa  pelbagai aktiviti dan program khidmat sosial masih terus berjalan di seluruh negeri seperti biasa di semua bahagian di Sabah.

Beliau berkata bahawa laporan tersebut berbentuk spekulasi yang jelas dibuat dengan tujuan ingin mencipta persepsi yang boleh merumitkan lagi keadaan politik semasa di negeri ini, di samping merangsang politik perkauman serta mencetus fahaman politik kenegerian yang tinggi.

“Penggunaan kata-kata kasar oleh editornya juga hanyalah bertujuan untuk merendahkan serta memburukkan imej UMNO sahaja,” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata adalah tidak adil menggunakan ayat yang keterlaluan mengkritik UMNO, ini kerana UMNO telah banyak berjasa kepada Sabah dan rakyatnya..

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membangun dan membawa kesejahteraan kepada rakyat Sabah tanpa mengira keturunan, suku kaum dan kepercayaan agama,” tegasnya.

“PRU14 sudah selesai. Sepatutnya sekarang kita perlu beri tumpuan terhadap tanggungjawab dan kerja-kerja harian kita, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar. Seluruh rakyat harus bekerjasama demi mengembalikan kegemilangan negeri Sabah ini. Kita perlu memperbetul keutamaan kita.”- Oleh LSK / BNN