Bobbey Suan sambut baik kelulusan RM550 ribu untuk Sepulut

0
242
Datuk Bobbey A. Suan
PENSINGAN:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey A. Suan hari ini menyambut baik  keputusan Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM550 ribu bagi menaiktaraf beberapa kemudahan di kawasan Sepulut.
Katanya, kemudahan-kemudahan berkenaan seperti tapak tamu Sinsingon, pam air di SMK Sepulut dan jalan-jalan raya perlu dinaiktaraf demi keselesaan masyarakat Sepulut.
“Saya secara peribadi dan juga rakyat di kawasan Sepulut mengalu-alukan kelulusan peruntukkan seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Mohd.Shafie Apdal.
“Sesungguhnya rakyat di kawasan luar bandar terutama di Sepulut, Nabawan, Pensiangan dan lain-lain amat memerlukan perhatian dan pembelaan daripada Kerajaan”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bobbey mengulas pengumuman kelulusan peruntukan oleh Shafie untuk masyarakat Sepulut semasa merasmi Majlis Ilau Panawari, di sini pada Sabtu lalu.
Shafie berkata, peruntukan bagi menaiktaraf tapak tamu itu akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan dengan dana sebanyak RM300,000 dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan dana RM200,000.
Manakala dana RM 50,000 akan diberikan bagi memperbaiki pam air yang rosak di sekolah berkenaan.
Mengenai masalah jalan raya di Sapulut, beliau berkata, lima jalan telah dikenalpasti bagi memastikan ianya dimasukkan dalam jalan yang akan dinaiktaraf oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan.
Lima jalan yang dikenalpasti itu termasuklah Jalan Pagalungan, Salung, Pensiangan, Pangaraaan dan Ponotomon.
Katanya, beliau akan meminta jabatan itu supaya memasukkan kelima-lima jalan berkenaan dalam projek pembangunan jalan raya yang akan datang.
Bobbey berkata, dengan pengumuman Shafie untuk menyenaraikan beberapa jalan raya yang rosak untuk dinaiktaraf sudah pasti melegakan penduduk di kampung-kampung terlibat.
“Kita berharap jalan-jalan tersebut dapat dinaiktaraf dalam tahun ini. Saya berharap penduduk kampung yang menggunakan jalan-jalan itu bersabar.
“Ini kerana Kerajaan perlu mengambil sedikit masa untuk mengatur kelulusan dan juga peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan”, tambahnya.-Oleh LSK/BNN