PPN Sabah lapor polis terhadap ketua pentadbir NAFAS

0
1526
Mohd.Nazri (lima dari kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah PPN Sabah.

KOTA KINABALU:  Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pentadbir Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kerana  telah memanggil Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2018  tanpa punca kuasa.

Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi PPN Sabah,Dato’ Mohd.Nazri Abdullah bersama 9 orang  ahli jemaah pengarah PPN iaitu Datuk Ng Loi Tect, Datuk Haji Jaimin Samitah, Datuk George Sangkin, Haji Abd Rahman Kasim, Haji Abdul Rahim Oting, Puan Sylvia Belinggi, Haji Mohamad Nor Bacho, Hajah Chaya Sulaiman dan Sharom @ Omar Osen di balai polis Penampang pada 29 Januari 2019.

Dalam laporan polis itu, PPN Sabah mendakwa Ketua Pentadbir NAFAS telah mengeluarkan notis memanggil MAT pada 20 Disember 2018 di Everly Hotel Putrajaya tanpa punca kuasa kerana Perlembagaan NAFAS masih digantung.

Akibat  daripada notis memanggil MAT itu, ianya telah dihadiri oleh perwakilan-perwakilan peladang dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Malangnya MAT 2018 tidak dapat dijalankan disebabkan Perlembagaan NAFAS belum dilepaskan,  akibatnya NAFAS dikatakan mengalami kerusian lebih RM2 juta.

Mohd Nazri dalam satu kenyataan media berkata, sesebuah Pertubuhan Peladang (PP) apabila perlembagaannya digantung maka perlembagaan PP itu sudah tidak berfungsi.

“Bagaimana Ketua Pentadbir NAFAS  boleh memanggil Mesyuarat Agong? Bagaimana pula Lembaga Pertubuhan Peladang  (LPP) sebagai pendaftar, Ketua Pengarah (KP) dan Timbalannya yang bijaksana boleh terlepas pandang hal ini?

Salinan Laporan polis yang dibuat oleh PPN Sabah

“LPP juga mempunyai Pegawai Undang Undang, kenapa tidak memberi nasihat. Jika pegawai undang undang juga terlibat dalam menasihati bahawa NAFAS boleh mengadakan MAT, maka pegawai tersebut boleh dikenakan  “surcharge””, katanya.

Mohd. Nazri berkata, akibat daripada kerugian itu, maka ia akan menjejaskan keuntungan NAFAS 2018 dan ini sekaligus menyebabkan pemegang saham juga mengalami kerugian kerana keutungan yang akan diagihkan oleh NAFAS kepada PPN juga akan berkurangan.

Katanya, PPN Sabah selaku pemegang saham NAFAS membuat laporan polis itu selepas Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah Bil.1, Tahun 2019 pada 29 Januari 2019 di bilik mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penampang.

Beliau berkata,  pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini kerana dibawah Akta 109 Seksyen 24A(2) Akta Pertubuhan Peladang (PP) 1973 memperuntukkan “surcharge”  kepada mana-mana pihak yang mendatangkan kerugian kepada PP.

Dalam kes NAFAS, Mohd Nazri berkata, Ketua Pentadbirnya,  KP LPP  dan Timbalannya kemungkinan akan dikenakan  “Surchange” untuk membayar balik duit NAFAS yang telah dibelanjakan.

Sementara itu katanya, selaku caretaker (pentadbir sementara) Ketua Pentadbir NAFAS tidak mempunyai kuasa untuk  meluluskan sebarang sumbangan kewangan.

“Tetapi kami mendapati Ketua Pentadbir telah banyak meluluskan sumbangan daripada NAFAS untuk beberapa program.  Difahamkan hampir RM 2 juta.

“NAFAS  berusaha sendiri tanpa mendapat peruntukan kewangan dari kerajaan seperti institusi lain. NAFAS yang di miliki oleh 14 PPN selaku pemegang sahamnya dan KP LPP hanya sebagai pendaftar bukan pemegang saham”, tambahnya.

Beliau berkata, NAFAS mendapat kontrak daripada kerajaan disamping berniaga dengan rakan niaga dari luar. Jika Ketua Pentadbir meluluskan setiap sen melalui mesyuarat yang ahli-ahlinya adalah pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS, mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa berbuat demikian.

“Kami juga difahamkan bahawa Simpanan Tetap (FD) NAFAS telah dicairkan. Jika ini berlaku maka satu lagi kesalahan besar telah dilakukan oleh pegawai-pegawai LPP yang ditempatkan di NAFAS”, tegasnya.

Sementara itu, PPN Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan turut menyokong keputusan PPN Sabah membuat laporan polis.

Pengerusi PPN Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, PPN Sarawak meminta pihak berwajib mengambil tindakan ke atas perkara ini.

“Kami sebagai pemegang Saham NAFAS tidak mahu melihat NAFAS jatuh, angkara tindakan tidak menguntungkan oleh Pendaftar ke atas NAFAS.

“Ini akan merugikan PPN dan juga ahli-ahli peladang selaku pemagang saham”, tegasnya.

Pengerusi PPN Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Haji Yussof bin Haji Mohammad berkata, akibat kesilapan Ketua Pentadbir yang memanggil MAT 2018 menyebabkan NAFAS menanggung kerusikan lebih RM2 juta.

“Sudah pasti ahli-ahli peladang yang terpaksa menanggung kerugian kerana agihan dividen NAFAS kepada PPN untuk tahun 2018 akan berkurangan”, tegasnya.-pr/BNN