Hajiji sambut baik keputusan Warisan terima Bersatu ke SABAH

0
285
Datuk Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik keputusan dan pendirian Parti Warisan Sabah (WARISAN) menerima kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada
Presiden WARISAN,Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal, beliau berkata, ini menunjukkan Shafie adalah seorang pemimpin yang matang, berpengalaman dan ingin melihat rakyat Sabah bersatu padu tanpa mengira suku kaum.

Beliau berkata, hubungan baik dan kerjasama erat diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting demi kepentingan, kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga akan membolehkan kelangsungan pembangunan yang berkesan”, katanya kepada media ketika dihubungi di Makkah.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan dan pendirian WARISAN menerima kemasukan BERSATU ke Sabah.

Shafie yang juga Ketua Menteri pada sidang media mengenai pendirian WARISAN berkata, parti pimpinannya tidak mampu menghalang BERSATU atau mana-mana parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Beliau menegaskan, WARISAN akan terus mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan berusaha memenuhi janji kepada rakyat demi kepentingan rakyat Sabah.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan bahawa BERSATU membuat keputusan untuk mengembangkan sayap ke Sabah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Shafie kerana menerima baik BERSATU mengembangkan sayap ke Sabah. Ini menunjukkan beliau adalah pemimpin yang berjiwa besar.

“Saya bersama-sama rakan-rakan seperjuangan yang lain akan sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri terutama dasar-dasar yang baik untuk kebaikan dan masa depan rakyat dan negeri Sabah”, kata Hajiji.-pr/BNN